Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (empat kiri) bersama Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (tengah) menyaksikan pertukaran memorandum perjanjian (MoA) antara wakil Biotropics Malaysia Berhad bersama SHRF Food Industries Sdn Bhd pada Majlis Pemeteraian Kerjasama Strategik Anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Makanan sempena Pameran Pertanian Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Selangor. Foto MUHD NA'IM, 08 OGOS 2022.

SERDANG – Sebanyak 22 syarikat hari ini memeterai memorandum Perjanjian Antara Usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia dan King Sight (HK) Group of Companies Bagi Pengeksportan Produk Agromakanan Ke Pasaran Hong Kong dan China.

Majlis menandatangani memorandum tersebut disaksikan oleh Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 hari ini.

Menurut Mohamed Azmin, hasil pemeteraian memorandum berkenaan bakal menghasilkan  RM451 juta nilai padanan perniagaan produk tempatan di dalam dan luar negara.

“MoU ini untuk eksport produk makanan ke luar negara. Dengan ini juga saksikan perjanjian guna platform e-commerce kerana kita sedia maklum pandemik mempercepatkan pendigitalan  dan penggunaan teknologi baharu,” katanya ketika sidang media hari ini.

Menurut Mohamed Azmin, usaha yang dianjurkan oleh MAFI dan MITI itu dalam masa yang sama akan meningkatkan usaha mempromosikan produk tempatan.

Ujar beliau, MITI melalui Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan terus menyokong usaha memasarkan produk-produk tempatan ke peringkat antarabangsa.

Sementara itu, Ronald dalam sidang media yang sama berkata, memorandum yang dimeterai hari ini juga bakal memberi manfaat kepada PKS.

“Kita mempunyai banyak produk tempatan sebahagian besarnya memenuhi ketetapan pasaran dan syarat antarabangsa. Jadi sudah tentu ini akan meningkatkan produk PKS kita,” katanya lagi.

Sebagai rekod, antara produk tempatan yang terlibat dalam syarikat-syarikat yang telah memeterai memorandum pada hari ini adalah produk makanan dan perkhidmatan. – MalaysiaGazette