Idris menyampaikan ucapan perasmian Pemilihan Anggota Majlis Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan Yang Pertama.

PUTRAJAYA – Institusi kehakiman Islam berperanan penting dalam menegakkan keadilan dan menyelesaikan pertelingkahan pihak yang terlibat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Idris Ahmad.

Beliau berkata, dari situ wujudnya peranan peguam syarie bagi memastikan hak diberikan kepada mereka sepatutnya, khusus anak guam yang diwakilinya.

Katanya, kajian akademik mendapati penglibatan peguam syarie di mahkamah telah berlaku sejak sebelum merdeka lagi seperti termaktub dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam.

Tentunya dalam tempoh itu sehingga sekarang, profesion guaman syarie secara berperingkat telah melalui pelbagai dimensi pengalaman yang membina kematangan dan kekuatan, ujarnya.

Menurut Idris, perjuangan untuk memartabatkan institusi Mahkamah Syariah serta profesion guaman syarie juga adalah perjuangan kita semua.

“Ketika di awal saya diberikan amanah sebagai menteri, saya bersama timbalan saya, Datuk Ahmad Marzuk Shaary bersepakat untuk melihat ruang-ruang penambahbaikan yang boleh dibuat khususnya institusi Mahkamah Syariah dan tentunya peguam syarie.

“Perjuangan untuk memartabatkan undang-undang syariah adalah perjuangan saya sejak berada di luar kerajaan dahulu lagi, maka saya berkata pada diri saya; sementara Allah beri amanah dan ruang ini kepada saya, saya bertanggungjawab untuk melaksanakannya.

“Antara tindakan yang telah kita ambil ialah mengaktifkan semula Jawatankuasa Memperkasakan Mahkamah Syariah yang dipengerusikan Tan Sri Othman Mustapha dan diurus setiakan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM),” katanya.

Hakim dan Peguam Syarie yang hadir ke perasmian Mesyuarat Pemilihan Anggota Majlis Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan Yang Pertama.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Pemilihan Anggota Majlis Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan Yang Pertama di Auditorium Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM, Datuk Dr. Mohd Naim Mokhtar; Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd Yusoff; Ketua Hakim Syarie Wilayah Persekutuan, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Mohd Asri Tahir dan Ketua Pendakwa Syarie/Pengarah, Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan, Noor Hadina Ahmad Zabidi.

Menurut Idris, usaha mewujudkan Akta Profesion Guaman Syarie bermula 1984 lagi, manakala 1995, Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Syarak dan Sivil telah meneruskan penggubalan Rang Undang-undang Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) sehingga selesai.

Kata beliau, Akta Profesion Guaman Syarie 2019 (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Akta 814) telah diluluskan Dewan Rakyat pada 15 Julai 2019 dan Dewan Negara 31 Julai 2019.

Akta 814 juga telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 15 November 2019 dan seterusnya telah mula berkuat kuasa pada 21 Jun lalu.

Jelas beliau, sebelum kewujudan Akta 814, profesion guaman syarie di Wilayah-Wilayah Persekutuan dikawal selia mengikut peruntukan Kaedah-Kaedah Peguam Syarie 1993 yang dibuat mengikut seksyen 59 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505].

“Kini setelah tiga dekad, profesion guaman syarie di Wilayah-Wilayah Persekutuan akan dikawal selia di bawah Akta 814. Alhamdulillah, inilah sejarah panjang perjalanan Akta 814 yang mesti dirakamkan dalam sejarah.

“Tentunya ini bukan usaha orang perseorangan, tetapi usaha semua pihak yang memperjuangkan institusi Mahkamah Syariah.

“Kita berterima kasih kepada tokoh pelopor perundangan syariah yang telah menyumbang idea, pandangan dan cadangan dalam usaha untuk mewujudkan akta khusus berkaitan profesien guaman syarie,” katanya.

Katanya, hasil daripada wawasan dan kebijaksanaan mereka, menjadi pemangkin kepada kemajuan dan kemampanan bidang guaman syariah, kehakiman syariah dan seterusnya pembangunan Islam dalam negara.

Beliau turut mengulas mengenai penguatkuasaan Akta 814 telah ditangguhkan sebelum ini berkata, penangguhan itu bagi memberi ruang kepada penggubalan 10 kaedah-kaedah di bawah akta berkenaan dapat disiapkan bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar dan teratur. – MalaysiaGazette