Konsert Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur 2022 membuktikan Ziana kekal unggul di persada seni.

KUALA LUMPUR – Biar pun usianya sudah mencecah 54 tahun, faktor umur tidak menghalang Ziana Zain membuktikan dia masih bertenaga di atas pentas persembahan dengan nyanyian bernada tinggi.

Penyanyi yang memulakan karier pada usia 22 tahun itu juga ingin membuktikan bahawa penyanyi senior sepertinya mampu bertahan lama dalam industri muzik dan lagu-lagu malar hijau masih diminati ramai.

Menerusi konsert Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur 2022 malam Sabtu lalu, ibu beranak empat itu membuktikan dia kekal unggul di persada seni.

Tirai konsert bermula pukul 9 malam dibuka dengan dua lagu rancak, Sangkar Cinta dan Bila Resah yang disampaikan dengan penuh bertenaga oleh dua adik beradik ini.

Sepanjang tiga jam beraksi, Ziana dan Anuar turut menghiburkan penonton dengan celoteh melucukan.

Penonton dibuai dengan rangkai lagu popular dipersembahkan Ziana termasuklah Puncak Kasih, Menadah Gerimis, Anggapanmu, Madah Berhelah dan lagu yang belum pernah dinyanyikan dalam mana-mana persembahan iaitu Terlerai Kasih.

Kehebatan vokal Anuar Zain di usia 52 tahun.

Anuar pula yang berusia 52 tahun tidak mahu kalah apabila menghiburkan peminat dengan lagu popularnya seperti Ketulusan Hati, Mungkin, Lelaki Ini dan Keabadian Cinta.

Malah dia yang gemar turun ke bawah pentas sentiasa menjadi jeritan penonton wanita yang seolah-olah histeria dan tidak mahu melepaskan peluang bergambar kenangan.

Seperti dijanjikan, pasangan dua beradik ini turut berpadu suara menyampaikan lagu Sesuci Cinta Mu, Lembah Asmara dan Di Akhir Garisan yang menjadi lagu penutup konsert itu.

Konsert anjuran Trumpet International Sdn Bhd itu menyaksikan kehadiran ramai rakan selebriti. Antaranya, Noryn Aziz, Misha Omar, Awal Ashaari, Scha Alyahya, Shuib Sepahtu, Datuk Ziela Jalil, Datuk A Aida, Ernie Zakri, Syamel, Rozita Che Wan, Fara Fauzana dan Dafi.

Dianggarkan seramia 2,800 penonton, termasuk peminat dari Singapura memenuhi Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bagi menyaksikan pasangan adik-beradik itu beraksi di atas pentas selepas kali terakhir membuat konsert bersama di Singapura sekitar 12 tahun lalu.

Di penghujung konsert, Ziana dan Anuar turut mengumumkan konsert itu bakal dibawa ke Singapura pada 24 September depan. – MalaysiaGazette

Ziana dan Anuar Zain bakal membuat konsert di Singapura pada 24 September depan.