SERDANG — Seramai 15,000 pelajar institusi di bawah seliaan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bakal menikmati pelan perlindungan Takaful Pelajar serendah RM30 setahun.

Presiden Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, menerusi pelan terbaharu pihaknya itu, pelajar berpeluang menikmati perlindungan secara hibrid, iaitu RM10,000 untuk kemalangan dan kecacatan kekal serta RM10,000 untuk kematian biasa.

“Usaha ini dibuat untuk membantu seluruh peringkat komuniti khususnya yang kurang mendapat liputan dan perhatian (unserved and underserved communities) sentiasa menjadi keutamaan kami di Agrobank”

“Kita (Agrobank) menyedari kepentingan perlindungan takaful kepada masyarakat dari pelbagai latar belakang termasuk golongan pelajar.

“Justeru, kerjasama strategik bersama Bahagian Latihan Kemahiran Pertanian (BLKP) adalah untuk memastikan pelajar di bawah BLKP turut dilindungi dengan perlindungan takaful kemalangan.

“Ini penting bagi melindungi mereka dari sebarang ketidaktentuan yang berkemungkinan berlaku pada masa depan” katanya kepada media selepas memeterai memorandum persefahaman (MOU) antara Agrobank dan MAFI.

Mereka yang layak menikmati adalah pelatih Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Diploma Kemahiran Malaysia (DKM), dan sijil-sijil di bawah seliaan Jabatan iaitu Sijil Pertanian Malaysia (SIP), Sijil Veterinar Malaysia (SVM) dan Sijil Perikanan Malaysia (SP).

Terdahulu, MOU itu ditandatangani oleh Datuk Haslina Abdul Halim dan disaksikan oleh Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, Tengku Ahmad Badli Shah, dan Pengerusi Agrobank, Datuk Mustapha Buang.

MOU itu diharapkan dapat mewujudkan kerjasama dalam menyediakan perkhidmatan penyaluran peruntukan projek MyAgrosis dan perkhidmatan kemudahan perbankan kepada pelajar bertauliah seliaan kerajaan melalui BPKLP, dan MAFI. -MalaysiaGazette