Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar bercakap pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penutup Mesyuarat Agung Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) Kali Ke-48 di Bangunan Kumpulan MUARA, Shah Alam, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 09 OGOS 2022.

SHAH ALAM – Tindakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang berterusan menyalahkan kepimpinan Barisan Nasional (BN) kerana mewarisi banyak masalah membuktikan Pakatan Harapan (PH) gagal mentadbir negeri.

Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar menegaskan, Amirudin hanya pandai menuding jadi sedangkan setiap kontrak mempunyai perjanjian dan klausa penamatan boleh digunakan jika sesuatu projek tidak sempurna.

“Tiga penggal pun sudah nak habis, apa nak salahkan BN lagi, ini membuktikan bahawa Menteri Besar hari ini dan PH memang tak reti memerintah.

“Tak boleh buat sebab yang (keputusan) lama (BN), yang tak boleh ubah al-Quran sahaja.

“Takkan tak ada klausa penamatan dalam perjanjian. Saya ketawa bila Menteri Besar jawab macam ini. Sebab apa…sebab pilihan raya semakin dekat,” katanya pada sidang media di bangunan Kumpulan Muara di sini hari ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar beramah mesra dengan sebahagian ahli PBPM yang hadir pada Majlis Perasmian Penutup Mesyuarat Agung Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) Kali Ke-48 di Bangunan Kumpulan MUARA, Shah Alam, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 09 OGOS 2022.

Terdahulu Noh yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merasmikan Majlis Perasmian Penutup Mesyuarat Agung Persatuan Bekas Pesara Polis Selangor.

Beliau mengulas pendedahan Menteri Besar Selangor dalam persidangan Dewan Negeri Selangor pada 2 Ogos lalu bahawa isu yang timbul ketika ini banyak diwarisi legasi terdahulu bahkan ada yang terpaksa diuruskan semula.

Menurut Amirudin, hak membangunkan tanah padang latihan Akademi Bola Sepak Merah Kuning di Kelana Jaya diberikan kepada kroni UMNO namun pembangunannya tidak lengkap.

Amirudin turut mendedahkan, bangunan Hotel Carlton di Seksyen 13 di sini yang terbengkalai sebahagiannya dipegang syarikat kontraktor lantikan kerajaan terdahulu.

Noh turut menyalahkan kepimpinan PH yang enggan menerima cadangan kerajaan BN untuk membina Canal City bagi mengatasi masalah banjir kilat khususnya di Seksyen 13, Shah Alam.

“Banjir ini siapa punya punca? Kalau dia dengar nasihat kita dulu nak buat Canal City, tak berlaku banjir teruk seperti sekarang. Kerajaan negeri bagi alasan kalau buat Canal City, nanti BN punya projek berbilion bagi kroni…..terus tak buat.

“Akhirnya tengok dia memerintah, tempat takungan air dia pergi buat perumahan, pembangunan, itu yang banjir gila-gila ini, siapa yang rugi,” katanya.

Menurut Noh, Amirudin perlu berhenti menyalahkan kerajaan BN kerana kerajaan PH sendiri ditadbir oleh tiga menteri besar dalam tempoh tiga penggal.

“Saya harap rakyat dapat menilai tiga penggal dia jadi kerajaan, cukup-cukuplah dia nak tipu rakyat. Tiga penggal memerintah, tiga menteri besar bertukar, masih nak salahkan kerajaan BN.

“Cara paling mudah, runtuhkanlah stadium atau jual itulah kepandaian kerajaan PH,” katanya lagi. – MalaysiaGazette