Mohd Shahar Abdullah

KUALA LUMPUR – Kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) secara beransur-ansur tidak akan memberi kesan ketara kepada golongan B40.

Ini kerana satu pertiga pinjaman oleh golongan B40 adalah pada kadar tetap, kebanyakannya untuk pinjaman pembelian kereta dan pembiayaan peribadi.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, kerajaan menerusi BNM menekankan pelbagai program bantuan masih tersedia untuk golongan peminjam mudah terjejas termasuk kemudahan di bawah Dana BNM untuk perusahaan kecil dan sederhana, bantuan bayaran balik pinjaman secara bersasar oleh bank, serta khidmat nasihat di bawah pelbagai program Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK).

”BNM menekankan bahawa sebarang keputusan untuk melaraskan dasar monetari pada masa hadapan akan dilaksanakan secara terkawal dan beransur-ansur supaya tidak menjejaskan momentum pemulihan ekonomi Malaysia.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Aziz Ariffin yang bertanya adakah terdapat sebarang kajian lapangan yang telah dilaksana oleh kerajaan terhadap tahap kesiapsiagaan rakyat dengan penetapan kadar OPR yang jelas akan membebankan rakyat secara langsung apabila kadar OPR dinaikkan.

Mohd Shahar berkata, dasar monetari negara dilaksanakan secara bebas oleh BNM tanpa intervensi daripada Kerajaan Persekutuan seperti yang termaktub dalam Akta Bank Negara Malaysia 2009 (CBA 2009) yang memperuntukkan tanggungjawab kepada Jawatankuasa Dasar Monetari untuk merumuskan dasar monetari bagi mengekalkan kestabilan harga serta memastikan pertumbuhan ekonomi kekal mampan pada masa hadapan.

Apabila ekonomi Malaysia berdepan dengan krisis Covid-19, kadar OPR telah diturunkan daripada 3.00% kepada 1.75% pada tahun 2020, iaitu paras yang terendah dalam sejarah.

Bagaimanapun kini, ekonomi negara berada pada landasan pemulihan dan aktiviti perbelanjaan isi rumah, pembelian aset dan aktiviti pelaburan juga telah kembali rancak.

Tambahan pula, pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) suku pertama 2022 adalah 5.0%, melepasi paras pra-pandemik.

Oleh itu, peningkatan kadar inflasi bukan sahaja didorong oleh tekanan penawaran, malah telah menunjukkan tanda-tanda kenaikan inflasi tarikan permintaan dan jika hal ini tidak ditangani dari awal, permintaan dalam negeri sekiranya berlebihan boleh menambah tekanan inflasi.

Setiap kali keadaan inflasi menjadi tidak terkawal, harga yang lebih tinggi boleh menjejaskan kuasa beli isi rumah, terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah.

Kadar inflasi pada tahun 2022 dijangka mencatat purata antara 2.2 hingga 3.2 peratus manakala kadar inflasi sebenar dari Januari sehingga Jun merekodkan 2.5 peratus.

Mohd Shahar menambah, pendekatan kenaikan OPR secara beransur-ansur ini adalah sangat penting untuk mengelakkan tekanan seperti yang sedang berlaku di Amerika Syarikat (kadar inflasi: 9.1%), di Filipina (kadar inflasi: 6.1%) dan di Turki (kadar inflasi: 78.6%) yang boleh merencatkan pertumbuhan ekonomi dan menjejaskan kesejahteraan rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast