Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid (Tengah) diberi taklimat oleh Pengarah Bhagian Tanaman dan Lain-Lain Pendapatan FELCRA Berhad, Saimin Basir (Kanan) ketika Lawatan Pemeran dan Taklimat Pembangunan Pembinaan Kompleks Ternakan Ayam Pedaging (Sistem Tertutup) di Tanjung Seratus di Rompin hari ini.

ROMPIN – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyalurkan sejumlah RM60 juta menerusi FELCRA Berhad untuk projek mega ternakan ayam pedaging di Kampung Tanjung Seratus.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ia merupakan salah satu usaha kerajaan memastikan keperluan bekalan ayam dalam negara sentiasa mencukupi.

“Penghasilan ayam semasa hanya 1.6j juta ekor sehari iaitu kekurangan sebanyak kira-kira 409,000 ekor ayam sehari, projek ini akan memenuhi keperluan ayam sebanyak 600,000 ekor dalam tempoh 32 hari atau 3.6 juta ekor setahun,” katanya.

Menurut Mahdzir, kompleks ternakan terbabit akan mula beroperasi pada 20 Disember ini di dalam kawasan seluas 20 hektar dengan sistem secara tertutup.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan Lawatan Pemeran dan Taklimat Pembangunan Pembinaan Kompleks Ternakan Ayam Pedaging (Sistem Tertutup) di Tanjung Seratus di sini hari ini.

Selain itu, difahamkan projek terbabit juga bakal membuka lebih 500 peluang kerjaya dalam bidang pengurusan, pentadbiran dan pekerjaan am kepada generasi warga peserta FELCRA, khususnya bagi warga tempatan.

“Bukan itu sahaja, projek ini turut akan memberikan kesan penjanaan ekonomi setempat melalui aktiviti perkhidmatan dan penyelenggaraan, kerja-kerja landskap, pembekalan, pembinaan dan kontrak,” katanya.

Selain itu, beliau turut menyarankan agar FELCRA Berhad menceburi rantaian sumber makanan ternakan iaitu jagung bijian yang diperlukan bagi bekalan ternakan ayam bagi menampung keperluan domestik. – MalaysiaGazette