Petugas Kementerian Perpaduan Negara bergambar dengan menunjukkan surat akhbar merdeka di Malaysia pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di MAEPS Serdang, Selangor. AMIRUL SHAUFIQ, 09 OGOS 2022.

SERDANG – Ruang pameran Kementerian Perpaduan Negara (KPN) mencuri perhatian pengunjung pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 yang sedang berlangsung hingga 14 Ogos ini.

Ini kerna pengunjung boleh melihat suratkhabar fizikal yang diterbitkan pada Hari Merdeka pada tahun 1957.

Selain itu terdapat juga keratan akhbar mengenai kemerdaaan negara yang dipamer yang memberi maklumat yang berguna kepada orang.

Sementara itu, penglibatan KPN dalam pameran MAHA 2022 adalah susulan daripada tiga program Semarak UNITI Keluarga Malaysia yang telah berjaya dilaksanakan dengan kehadiran jumlah pengunjung yang amat memberangsangkan.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berharap penglibatan KPN dalam MAHA 2022 akan dapat membantu mempromosikan Program Semarak UNITI Keluarga Malaysia yang menjadi platform integrasi masyarakat.

“Ia sekali gus sebagai tapak mengeratkan jalinan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum bermula di peringkat akar umbi.

“Inilah pendekatan yang ditekankan oleh Kementerian Perpaduan Negara bagi memastikan program-program perpaduan dapat didengari, dilihat dan dirasai seluruh Keluarga Malaysia di peringkat akar umbi,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sehubungan itu, KPN meneruskan lagi aktiviti mempromosikan program Semarak UNITI Keluarga Malaysia dengan menyertai MAHA 2022 yang bertemakan ‘Sekuriti Makanan Untuk Masa Depan’ merupakan sebuah pameran pertanian dan agro pelancongan yang diadakan secara dwitahunan di bawah kelolaan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI)

Bertemakan Semarak UNITI Keluarga Malaysia, Pameran Semarak UNITI Keluarga Malaysia Kementerian Perpaduan Negara di MAHA 2022 yang bertempat di Hall A, Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor menyajikan pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung MAHA 2022.

Antara aktiviti tersebut Projek Ekonomi KRT, Rumah KAMI, Pentas Mini dan Mini Kopitiam UNITI

Selain itu, Pameran Semarak UNITI Keluarga Malaysia KPN di MAHA 2022 turut menampilkan penglibatan beberapa orang artis yang terdiri daripada pelakon, penyanyi dan pengacara seperti Mark Adam, Zara Sya, Amira Othman, Fara Fauzana, Dina Nadzir, Lan Solo, Kencana Dewi, Angeline Tan dan lain-lain.

Sementara itu, penganjuran MAHA 2022 dijangka menarik 1.1 juta pengunjung selain menyasarkan lebih daripada RM250 juta potensi nilai jualan produk pertanian dan agro makanan termasuk pemadanan perniagaan. – MalaysiaGazette