logo mahlamah

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan mangsa kemalangan jalan raya wajar diberikan pampasan secara automatik tanpa perlu menyaman syarikat insurans.

Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Rahman Sebli berkata, peruntukan yang termaktub dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 sepatutnya melindungi semua pemandu termasuk mangsa kemalangan.

Katanya ketika mempengerusikan penghakiman bersama dua lagi panel hakim, sebarang percanggahan perlu diselesaikan dengan memihak kepada mangsa kemalangan pihak ketiga yang tidak bersalah selain mengimbangi pihak yang bercanggah.

“Apa yang penting dan pertama ialah untuk melindungi pihak ketiga yang tidak bersalah daripada sebarang risiko, manakala di sebelah pihak lagi, undang-undang perlu melindungi syarikat insurans daripada menjadi mangsa kepada tuntutan tipu,” katanya dalam penghakimannya setebal 140 muka surat hari ini.

Katanya, mahkamah ketika menangani tuntutan ganti rugi oleh mangsa kemalangan pihak ketiga tidak boleh menutup sebelah mata tentang kebenaran syarikat insurans sudah menerima bayaran untuk mengeluarkan polisi insurans risiko pihak ketiga kepada pihak yang diinsuranskan.

Jelasnya, syarikat insurans tidak boleh mungkir janji untuk menanggung kerugian pihak yang diinsuranskan dengan memberi alasan teknikal iaitu pihak yang diinsuranskan tidak mempunyai kepentingan boleh insurans dalam kenderaan bermotor pada masa kemalangan.

“Melahirkan jika polisi insurans sudah tamat tempoh atau ditamatkan secara sah,”ujarnya.

Mahkamah hari ini membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan membabitkan lapan pengguna kenderaan, yang mana tujuh daripada pemohon cedera dalam kemalangan.

Rayuan itu membabitkan Pacific & Orient Insurance Co Berhad, manakala tiga lagi adalah Amgeneral Insurance Berhad, Allianz General Insurance Company (M) Bhd dan Malaysian Motor Insurance Pool. – MalaysiaGazette