Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelarasan Industri (JBI) dipengerusikan oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) membincangkan lapan kertas cadangan merangkumi Dasar Pelaburan Baharu Negara, pembangunan Wilayah Ekonomi Pahang Barat Plus bersama kerajaan Pahang menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelarasan Industri (JBI) di sini hari ini.

Menteri Kanan MITI, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, mesyuarat juga membincangkan sumbangan kerajaan negeri dalam rantaian bekalan kenderaan elektrik, peningkatan penyertaan industri tempatan dalam program pembangunan eksport serta pengukuhan industri halal di Pahang.

Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (kiri) dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (kanan) pada sidang media di Kuantan, Pahang hari ini.

“Kedua-dua pihak bersetuju mengukuhkan kerjasama dan menjayakan agenda pembangunan negara dan khususnya di negeri Pahang.

“Terdapat tiga fokus utama kementerian dalam menerajui usaha memastikan momentum pertumbuhan ekonomi, prestasi pelaburan dan perdagangan antarabangsa negara kekal pada landasan,” katanya.

Jelas Mohamed Azmin, fokus itu meliputi perdagangan dan pembangunan yang mampan, kelangsungan rantaian bekalan serta pembangunan tenaga mahir termasuk melalui peningkatan penggunaan teknologi dan inovasi.

Beliau yang juga mempengerusikan mesyuarat JBI bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bagi menyelaraskan dasar-dasar dan inisiatif dengan kerajaan negeri supaya selari dengan dasar dan aspirasi Kerajaan Persekutuan memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan terpilih.

Mohamed Azmin berkata, Pahang merupakan negeri pertama menyertai mesyuarat JBI  selepas negara memasuki fasa endemik dan  berkata, diskusi itu dibuat bagi memperkukuhkan prestasi perdagangan antarabangsa selain memastikan pembangunan industri secara mampan. – MalaysiaGazette