Najib (kiri) dan Rafizi.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib  Razak menafikan tuduhan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli kononnya beliau terlibat dalam isu penggunaan tiga lapisan syarikat untuk membekal kepada Boustead Naval Shipyard sehingga menyebabkan kos salah satu bahagian projek kapal tempur pesisir (LCS) meningkat tiga kali ganda.

Rafizi dalam kenyataan hari ini mendakwa dua lagi syarikat yang terbabit adalah Contraves Advanced Devices Sdn Bhd (CAD) dan Contraves Electrodynamics Sdn Bhd (CED).

Bagaimanapun, kata Najib, Rafizi tidak menyebutkan siapa yang memiliki syarikat-syarikat tersebut.

“Semakan menunjukkan bahawa kedua-dua syarikat CAD dan CED adalah syarikat usaha sama 51 peratus hingga 49 peratus antara Boustead Heavy Industries Corporation (BHIC) iaitu anak syarikat Boustead milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dengan syarikat Jerman terkenal, Rheinmetall Air Defence AG iaitu sebahagian daripada kumpulan Rheinmetall Jerman yang amat besar dengan penjualan tahunan mencecah RM30 bilion.

“Rheinmetall Air Defence juga adalah antara pakar utama dunia bagi sistem pertahanan ancaman udara jarak pendek.

“Pengarah Urusan syarikat BHIC dan pengerusi jawatankuasa projek LCS pada masa itu pula adalah bekas Panglima Tentera Laut, Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor. Jadi, apa kaitan isu ini dengan saya?” katanya dalam hantaran Facebook miliknya hari ini.

Ahli Parlimen Pekan itu mempersoalkan sama ada Rafizi menuduh bekas Panglima Tentera Laut, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT)  dan Rheinmetall berpakat dengannya untuk ‘songlap’.

Najib juga hairan kenapa dituduh terlibat dalam isu itu sedangkan beliau tidak pernah campur tangan dalam pembelian dan pengurusan projek LCS.

“Kenapa tak siasat sepenuh-penuh dan sepuas-puas hati sekiranya bekas Panglima Tentera Laut, syarikat Boustead milik LTAT dan syarikat Jerman itu disyaki bersalah?

“Saya tak ada bantahan sebab saya langsung tak terlibat,” jelasnya.

Sementara itu, dalam hantaran Facebook berasingan, Najib secara sinis mengucapkan ‘syukur’ apabla bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan bekas timbalannya, Liew Chin Tong dalam kenyataan bersama telah menafikan mereka membisu ketika LCS pertama gagal diserahkan pada 2019.

Beliau turut memperincikan kemajuan projek LCS yang siap 50.15 peratus mulai Januari 2015 hingga Januari 2018 di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) berbanding hanya 6.24 peratus mulai Januari 2018 hingga Januari 2020.

“Korang yang lewatkan, tangguhkan dan beku projek. Lepas itu kamu tanya kenapa kapal masih tak siap pada tahun 2022 lalu salahkan Najib?” soalnya. – MalaysiaGazette