M. Saravanan

KUALA LUMPUR – Warga Bangladesh yang menjadi kumpulan pertama para pekerja asing yang akan bekerja di negara ini tiba secara berperingkat bermula hari ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, kemasukan mereka susulan daripada Memorandum Persefahaman (MoU) Mengenai Penggajian Pekerja Warga Bangladesh yang telah ditandatangani kedua-dua negara pada 19 Disember tahun lepas.

Katanya, ketibaan mereka disambut Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh di Malaysia dan kumpulan itu akan digajikan untuk sektor pembuatan.

“Suruhanjaya Tinggi Bangladesh pada minggu lalu juga telah mengesahkan permohonan daripada 80 majikan tempatan yang melibatkan penggajian seramai 6,000 warga Bangladesh,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Saravanan, bagi majikan yang telah membuat bayaran levi kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan bercadang menggajikan pekerja warga Bangladesh, mereka boleh memohon pengesahan enggajian dan dokumentasi seperti kontrak pekerjaan serta pesanan kerja ke Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Malaysia.

Malaysia dan Bangladesh sebelum ini memeterai MoU berhubung pengambilan pekerja Bangladesh untuk berkhidmat di negara ini berkuatkuasa selama lima tahun sehingga Disember 2026.

MoU tersebut menggariskan tanggungjawab kedua-dua negara termasuklah berkaitan majikan Malaysia dan pekerja Bangladesh serta tanggungjawab agensi-agensi pekerjaan swasta di kedua-dua negara.

Pelaksanaan MoU itu akan dikawal selia oleh satu Kumpulan Kerja Bersama (JWG) yang dianggotai oleh kedua-dua negara. – MalaysiaGazette