KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO mendesak kerajaan segera menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat isu perolehan kapal tempur pesisir (LCS) secara komprehensif dan bebas demi kepentingan rakyat.
Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tuduh menuduh, andaian demi andaian serta provokasi oleh pelbagai pihak mengenai perkara ini amat tidak sihat dalam kalangan rakyat.
Beliau menambah, ia turut memberikan persepsi tidak baik mengenai aset-aset sensitif ketenteraan, kesiapsiagaan pertahanan, keselamatan dan kedaulatan negara.
“Pemuda UMNO Malaysia berpendapat perlu ada satu titik noktah yang berautoriti agar semua pihak terutamanya pengguna akhir iaitu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dapat mencapai objektif asal kepada perolehan ini seterusnya menjamin keupayaan pertahanan TLDM untuk menjalankan tanggungjawab mereka.
“Malah, kepimpinan UMNO yang berada dalam kerajaan sebelum dan ketika ini juga mahukan agar siasatan dan tindakan menyeluruh terhadap laporan audit yang dikeluarkan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dapat dilakukan segera,” katanya.
Pada Khamis lalu, Pengerusi PAC, Wong Kah Woh mendedahkan, Boustead Naval Shipyard masih gagal menyerahkan sebarang LCS setakat ini kepada kerajaan walaupun telah menerima bayaran RM6.08 bilion. – MalaysiaGazette