Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bergambar bersama atlet sambil melaungkan kata-kata semangat pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia ke Temasya Sukan Komanwel XXII Birmingham 2022 di Hotel Grand Hyatt Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 19 JULAI 2022. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan tahniah kepada kontinjen Malaysia atas kejayaan melepasi sasaran enam pingat emas pada temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 yang melabuhkan tirainya malam tadi.

Beliau turut mengucapkan syabas kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu serta kementeriannya termasuk pengurus pasukan, jurulatih dan atlet yang menjayakan temasya sukan itu.

“Sasaran 6 pingat emas tercapai! Syabas dan tahniah juga kepada pengurus pasukan, jurulatih, atlet dan seluruh kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel 2022 Birmingham” katanya menerusi ciapan di Twitter.

Terdahulu, Perdana Menteri mengucapkan tahniah kepada pasangan beregu badminton wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah yang berjaya menghadiahkan pingat emas ketujuh buat negara di Sukan bereknaan.

Pingat emas dalam acara badminton itu berjaya diraih selepas mereka menewaskan wakil England, Chloe Birch-Lauren Smith 21-5, 21-8 pada aksi final di National Exhibition Center di Birmingham.

“Tahniah Pearly Tan dan Thinaah atas kejayaan merangkul pingat emas dalam acara badminton beregu wanita di Sukan Komanwel 2022.

“Syabas @PejaOfPerak @KBSMalaysia @MSNMALAYSIA @BA_Malaysia. Pingat emas ketujuh Malaysia!” ujarnya.

Kejayaan pasangan beregu negara itu juga merupakan sumbangan pingat terakhir buat Malaysia di Sukan Komanwel 2022 yang berakhir malam tadi selepas berlangsung sejak 28 Julai lalu.

Secara keseluruhan, Malaysia meraih 23 pingat pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 membabitkan tujuh pingat emas, lapan perak dan lapan gangsa sepanjang temasya itu yang menempatkan Malaysia di kedudukan ke-11 daripada 43 negara.

Australia mengungguli temasya kali ini dengan 178 pingat membabitkan 67 emas, 57 perak dan 54 gangsa, manakala tuan rumah England dikedudukan kedua dengan 176 pingat membabitkan 57 emas, 66 perak dan 53 gangsa. – MalaysiaGazette