Kalsom memasang bendera Jalur Gemilang pada sebuah teksi di Majlis Pra Pelancaran Jalur Gemilang di Terminal Teksi Melaka Sentral, Peringgit, Melaka, hari ini.

MELAKA – Borang Insentif Bantuan Khas Ibu Tunggal secara one off kini boleh didapati di semua 28 Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) seluruh negeri.

Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan, Datuk Kalsom Nordin berkata, ia berbeza dengan pendekatan sebelum ini apabila borang tersebut hanya boleh didapati di Pejabat Pembangunan Wanita di Menara Persekutuan di Ayer Keroh.

Menurutnya, proses melonggarkan syarat-syarat dan memudahkan proses permohonan dibuat bagi memastikan ianya tidak menyukarkan ibu tunggal yang layak mendapat bantuan sekali bayar itu.

“Setakat ini, kita anggarkan 300 daripada kira-kira 5,000 ibu tunggal di negeri ini telah mengisi borang terbabit dan layak mendapat bantuan yang sedang diproses.

“Kemudahan terbaharu ini bagi memastikan peruntukan sebanyak RM500,000 yang diumumkan pada pembentangan Bajet 2022 Negeri Melaka oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali benar-benar dimanfaatkan golongan sasar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pra Pelancaran Jalur Gemilang di Terminal Teksi Melaka Sentral, Peringgit, pada Selasa.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah Melaka Sentral Sdn Bhd (MSSB), Datuk Hasnoor Sidang Husin.

Mengulas lanjut, Kalsom yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu berkata, sebelum ini, bantuan tersebut kurang sambutan namun bertambah selepas keputusan penyerahan borang ke setiap DUN dibuat yang akan diuruskan oleh wakil rakyat berkenaan.

“Malah syarat permohonan pun sekarang kita buka kepada semua ibu tunggal untuk memohon bebanding dulu disyaratkan mereka mesti mempunyai tanggungan,” katanya.

Mengenai program hari ini, beliau berkata,  ia menjadi medium untuk menyantuni kira-kira 40 pemandu teksi di Melaka Sentral sekali gus menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan. – MalaysiaGazette