Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Potensi dan prospek minyak sawit Malaysia akan kekal cerah untuk tempoh separuh kedua 2022, memandangkan penerimaan global kepada komoditi negara sudah semakin meluas, termasuk oleh pasaran-pasaran yang bukan tradisional.

Perkembangan ini satu kejayaan daripada kempen Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (KPPK) iaitu ‘Gerakan Global untuk Memperjuangkan Kebaikan Minyak Sawit’ atau ‘The Global Movement to Champion the Goodness of Palm Oil’ yang bertujuan menepis dakyah-dakyah dan maklumat-maklumat salah mengenai komoditi terbesar Malaysia ini.

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, sksport minyak sawit Malaysia dan produk-produk berasaskan minyak sawit menokok sebanyak 55.2 peratus kepada RM67.48 bilion dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini daripada RM43.47 bilion sepanjang tempoh sama pada 2021.

Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 66.1 peratus hasil eksport adalah daripada minyak sawit, iaitu RM44.63 bilion berbanding hanya RM28.8 bilion pada tempoh sama tahun sebelumnya.

Menurutnya, dari segi volum, eksport minyak sawit dan produk-produk berasaskan minyak sawit dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini juga meningkat sebanyak 2.8 peratus kepada 11.47 juta tan metrik (MT) berbanding 11.15 juta MT tahun lalu.

“Kementerian dan saya secara peribadi amat gembira melihat sawit atau ‘tanaman emas’ kita sudah dapat diterima dengan meluas di peringkat global seperti ditunjukkan dalam bentuk eksport yang menggalakkan dalam tempoh separuh pertama 2022,” katanya dalam kenyataan di sini.

Malaysia merekodkan eksport yang kukuh walaupun berlaku kemerosotan harga minyak sawit mentah (MSM) dan penyusutan pengeluaran MSM sebanyak 1.1 peratus kepada 8.27 juta MT sepanjang tempoh berkenaan berbanding 8.36 juta MT dalam tempoh separuh pertama 2021.

“Kemerosotan yang berlaku adalah disebabkan pengeluaran buah tandan segar (FFB) yang menyusut sebanyak 3.6 peratus per hektar sepanjang tempoh Januari hingga Jun 2022 berbanding 7.16 tan per hektar sepanjang tempoh sama tahun lalu.

”Sementara itu, lonjakan mendadak dalam hasil eksport sebahagiannya adalah disebabkan peningkatan harga MSM, baik di dalam atau luar negara,” katanya.

Antara Januari hingga Jun 2022, harga MSM melonjak sebanyak 55.9 peratus kepada RM6,330 per MT daripada RM4,061.50 per MT bagi tempoh sama 2021.

Mengikut Jabatan Statistik Malaysia (DOSM), hasil daripada eksport minyak sawit dan produk-produk berasaskan minyak sawit bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini meningkat kepada RM56.47 bilion atau peningkatan sebanyak 58.8 peratus berbanding lima bulan pertama 2021.

“Saya amat gembira dengan hasil menggalakkan yang direkodkan sepanjang enam bulan pertama 2022 yang membolehkan pemain-pemain industri – sama ada pekebun kecil atau syarikat perladangan senaraian awam – mendapat manfaat daripada peningkatan harga CPO untuk menjana perolehan yang lebih
tinggi.

”Jelas sekali, lonjakan dalam perolehan hasil akan menyaksikan peningkatan dalam pendapatan yang kemudian boleh menyumbang dalam bentuk pelbagai cukai untuk digunakan oleh kerajaan Keluarga Malaysia bagi melaksanakan program-program berkaitan sosio-ekonomi yang penting bagi mempercepatkan usaha pemulihan ekonomi negara daripada kesan pandemik Covid-19,” ujar Zuraida. – MalaysiaGazette