Mohamad Sabu dan Liew Chin Tong (kiri)

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan cuba sedaya upaya menyelamatkan projek kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tetapi gagal kerana telah dijatuhkan pada Februari 2020.

Bekas Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan bekas Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong dalam kenyataan bersama hari ini berkata, Kerajaan PH telah menetapkan hala tuju projek itu pada bulan tersebut.

Hala tuju berkenaan telah dicadangkan oleh Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang ditubuhkan oleh Kerajaan PH untuk menyiasat projek berkenaan.

“Projek LCS telah mengalami kelewatan sejak 2016. Reka bentuk terperinci  yang sepatutnya siap pada November 2016 belum lagi dimuktamadkan sehingga hari ini.

“Kerajaan Pakatan Harapan telah membuat keputusan mengenai hala tuju projek ini pada Februari 2020 berpandukan cadangan JKSTUPKK namun kerajaan jatuh pada bulan tersebut juga,” katanya.

Sementara itu menurutnya, kemajuan projek LCS mencatatkan  6.24 peratus dari Januari 2018 hingga Januari 2020 iaitu dalam tempoh pentabiran Kerajaan PH.

Katanya, garis masa membuktikan bahawa Kerajaan PH bukan punca projek tersebut lambat.

“Status kemajuan projek LCS sepatutnya mencapai: 49.12% pada Januari 2016 tetapi hanya siap 39.67%;

“59.35% pada Januari 2017 tetapi hanya siap 46.99%; 70.53% pada Januari 2018 tetapi hanya siap 50.15%; 82.41% pada Januari 2020 tetapi hanya siap 56.39% dengan varian sebanyak -26.02%,” katanya.

Menurutnya, dalam tempoh kurang dari dua minggu selepas Mohamad mengangkat sumpah sebagai Menteri Pertahanan iaitu pada 30 Mei 2018, beliau telah mencadangkan penubuhan JKSTUPKK untuk menyelamatkan projek LCS.

Dalam mesyuarat JKSTUPKK bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad memutuskan bahawa mereka yang membuat salah laku mesti dibawa ke muka pengadilan.

Bagaimanapun katanya, rancangan untuk memulihkan projek itu tergendala disebabkan Kerajaan PH tumbang.

“Projek LCS dianggap sebagai projek sakit dan akan menerima suntikan dana untuk ganti balik dana yang disonglap.

“Kementerian Pertahanan diarahkan untuk membentang kertas Jemaah Menteri dalam masa terdekat.

“Malangnya, apa yang dirancang tidak berlaku berikutan Langkah Sheraton yang menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan,” katanya.

Dalam kenyataan itu mereka turut mendakwa reka bentuk terperinci LCS masih belum siap.

“Fasa concept design bermula pada 4 Jun 2012 dan sepatutnya dimuktamadkan pada 28 Januari 2013. Namun, ia hanya dimuktamadkan pada 24 September 2013 (kelewatan 238 hari atau 8 bulan).

“Basic design mula pada 3 Oktober 2013 dan sepatutnya dimuktamadkan pada 31 Januari 2015 tetapi hanya disiapkan sepenuhnya pada 20 Januari 2016 (kelewatan 17 bulan 20 hari).

“Menurut kontrak asal, fasa detailed design (rekaan terperinci) sepatutnya dilaksanakan dari 6 Ogos 2014 hingga 29 November 2016. Namun, fasa ini berterusan sehingga hari ini dan masih belum selesai,” katanya.-MalaysiaGazette