Bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes rasuah membabitkan gagal mengisytiharkan aset RM1 juta yang diterima daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 08 FEBRUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa UMNO Cawangan Taman Kebun Teh di Johor telah menerima sekeping cek bernilai RM10,000 daripada bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Ab Samad untuk perbelanjaan program pertandingan bola sepak, sembilan tahun lepas.

Timbalan Ketua Cawangan itu, Abu Bakar Abd Aziz ,72, berkata, sumbangan tersebut telah dimasukkan ke dalam akaun Maybank Islamic yang merupakan akaun rasmi UMNO cawangan berkenaan pada 10 Disember 2013.

“Susulan kemasukan wang berkenaan, pada 13 Disember 2013 saya mengesahkan terdapat pengeluaran sekeping cek bernilai RM7,000 kepada Mohamad Danial Zainal Abidin iaitu Ketua Pemuda UMNO Taman Kebun Teh bagi tujuan perbelanjaan program Pertandingan Bola Sepak Piala Pusingan YB Tan Sri Shahrir Hj Ab Samad,” katanya sambil menambah beliau sendiri yang memohon untuk mendapatkan sumbangan itu kepada Ab Shahrir kerana ahli politik tersebut adalah Ketua Umno Bahagian Johor Bahru.

Beliau berkata demikian semasa membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan kes bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu yang berdepan pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ketika disoal peguam Datuk Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah Al-Edros sama ada beliau mengetahui bahawa RM10,000 itu adalah simpanan hari tua Ab Shahrir, Abu Bakar menjawab “saya tidak tahu.”

Saksi itu bersetuju bahawa apabila cawangan tersebut berdepan masalah kewangan, antara sumber utama untuk mendapatkan bantuan ialah daripada Ketua Bahagian iaitu Ab Shahrir.

Menjawab soalan peguam Tan Sri Dzulkifli Ahmad sama ada beliau meragui sumber cek itu, Abu Bakar berkata, beliau tidak mempunyai sebarang keraguan dalam hal tersebut.

Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Mohd ‘Afif Ali sama ada RM10,000 itu adalah wang simpanan hari tua Ab Shahrir, Abu Bakar berkata beliau tidak pernah bertanya dan tidak tahu sumber wang tersebut.

Pada prosiding hari ini, mahkamah turut mendengar keterangan penasihat jualan Sutera Auto Sdn Bhd, Abdul Rahman Sivam Abdullah, 52, berhubung pembelian sebuah kereta jenis Honda Civic Hibrid bernilai RM118,485 oleh Ab Shahrir.

Menurut Abdul Rahman, adalah tidak pelik sekiranya individu berusia seperti Ab Shahrir mampu membuat pembayaran penuh bagi pembelian kereta bernilai RM100,000.

“Kalau ikut pada jawatan, insya-Allah boleh dan tidak pelik,” kata saksi pendakwaan kesembilan itu.

Semalam, mahkamah diberitahu bahawa Ab Shahrir membuat pembayaran penuh bagi pembelian kereta itu menggunakan sekeping cek pada 21 Disember 2013.

Shahrir, 72, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 25 April 2014 mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin bersambung esok. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast