Pengajur KFW22 berdepan tindakan susulan seorang model memperagakan pakaian menjolok mata.

ALOR SETAR – Penganjur Kedah Fashion Week 2022 (KFW22) berdepan tindakan daripada Kerajaan Kedah susulan seorang model memperagakan pakaian menjolok mata dalam acara tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, penganjur akan dipanggil untuk memberi penjelasan.

Jelas beliau, tindakan akan dikenakan ke atas pihak berkenaan sekiranya mereka didapati melanggar peraturan ditetapkan.

“Saya menerima aduan mengenai penganjuran KFW22 yang menampilkan model dengan pakaian menjolok mata.

“Setakat semakan dibuat, penganjur didapati tidak memohon permit dan tidak mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Pihak saya akan memanggil penganjur untuk meminta penjelasan seterusnya mengenakan tindakan sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Semalam, tular gambar seorang model wanita yang berpakaian menjolok mata pada KFW22 yang berlansung minggu lalu di sebuah pusat beli-belah di sini.

Gambar tular di media sosial itu mendapat kritikan daripada orang ramai yang mempersoalkan kepimpinan kerajaan negeri yang ditadbir Pas. – MalaysiaGazette