Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein (kanan) bersama Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto melakukan gimik pertukaran memorandum persefahaman bagi mempengerusikan Mesyuarat ke-42 General Border Committee Malaysia-Indonesia (GBC MALINDO) di Wisma Perwira, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM, 09 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Kerjasama pertahanan Malaysia-Indonesia yang sedia erat kini diperkukuhkan lagi menerusi tiga perkara yang akan dilaksanakan bersama.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, kerjasama pertama menerusi Mesyuarat Dua Hala antara beliau dan Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto.

Beliau memberitahu, kedua-dua negara saling memperakui setiap kerjasama pertahanan sedia ada selama ini sukar dilaksanakan jika tidak kerana kesungguhan, kemampuan dan semangat kebersamaan yang tidak berbelah bahagi.

”Ini tidak hanya kesepakatan di peringkat menteru tetapi lebih penting pelaksanaan sebenar di darat, laut dan udara oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Nasional Indonesia (TNI).

”Pada masa yang sama, kami juga berkongsi pandangan bahawa Malaysia dan Indonesia tidak boleh sekadar berpuas hati dengan kerjasama pertahanan semasa.

”Keakraban antara dua negara, persefahaman jitu antara menteri dan usahasama erat di peringkat ATM-TNI mesti diterjemahkan kepada hasil yang lebih pelbagai dalam konteks pertahanan dan keselamatan.

”Sebab itulah, saya dan Prabowo senada bahawa banyak lagi akan diterokai bersama oleh kedua-dua negara dalam masa terdekat dan masa hadapan. Ini termasuklah dalam perihal keselamatan di sempadan, rondaan di perairan yang menjadi tumpuan bersama, latihan bersama ATM-TNI, perkongsian maklumat dan kepakaran, keselamatan siber serta semestinya industri pertahanan,” katanya.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein (kanan) bersama Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto menandatangani memorandum persefahaman selepas mempengerusikan Mesyuarat ke-42 General Border Committee Malaysia-Indonesia (GBC MALINDO) di Wisma Perwira, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 09 OGOS 2022.

Sementara itu, Hishammuddin dan Prabowo juga bersetuju supaya Latihan Gabungan Bersama Malaysia – Indonesia Darat Samudera Angkasa (LATGABMA MALINDO DARSASA) yang melibatkan ketiga-tiga cabang perkhidmatan akan dilaksanakan semula pada tahun 2023 dengan berfokus kepada anti keganasan, katanya dalam satu kenyataan sempena pertemuan dengan Prabowo dalam satu mesyuarat di sini hari ini.

Pertemuan itu adalah satu kelaziman bagi menyerlahkan semangat serumpun Malaysia-Indonesia yang bukan sahaja istimewa tetapi lebih penting kedua-dua menteri mencapai pelbagai persefahaman demi keselamatan Malaysia, Indonesia dan rantau ini.

Sementara itu, satu memorandum persefahaman (MoU) telah ditandatangani antara Hishamuddin dan Prabowo yang akan menjadi satu lagi suntikan nafas baharu terhadap kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Indonesia.

Hishammuddin berkata, MoU yang ditandatangani itu bakal membolehkan kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara diperluaskan merangkumi lima skop utama.

Jelas beliau, ia melibatkan perkongsian maklumat mengenai isu-isu pertahanan dan kerjasama antara kedua-dua angkatan tentera di pelbagai peringkat termasuk pertukaran pegawai, latihan, pendidikan dan eksesais ketenteraan.

”MoU turut membabitkan dialog dan rundingan dua hala mengenai isu-isu pertahanan strategik dan ketenteraan berdasarkan kepentingan bersama dan kerjasama dalam bidang sains dan teknologi pertahanan serta dalam industri pertahanan.

”Bagi memastikan kesepakatan yang dimeterai dalam MoU ini dapat dilaksanakan sebaik mungkin bukan sahaja saya dan Prabowo akan terus memantau bersama tetapi kami juga telah mengarahkan supaya kepimpinan tertinggi kementerian serta Angkatan Tentera di Malaysia dan Indonesia mempertingkatkan komunikasi serta pertemuan dengan rakan sejawat masing-masing,” katanya.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengiringi rakan sejawatnya dari Indonesia, Prabowo Subianto yang tiba bagi mempengerusikan Mesyuarat ke-42 General Border Committee Malaysia-Indonesia (GBC MALINDO) di Wisma Perwira,Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 09 OGOS 2022.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, perkara ketiga yang menjadi tumpuan dan membawa kepada pengukuhan kerjasama Malaysia-Indonesia adalah Mesyuarat Ke-42 General Border Committee (GBC) Malaysia-Indonesia.

Kata beliau, mesyuarat edisi kali ini amat istimewa dan cukup signifikan memandangkan tahun ini merupakan ulang tahun sambutan ke-50 tahun kerjasama sempadan Malaysia dan Indonesia yang terbentuk hasil dari pemeteraian Security Arrangement 1972.

”Sepertimana tahun-tahun sebelum ini, Mesyuarat GBC Malaysia-Indonesia tahun ini sekali lagi memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerjasama pertahanan dan pembangunan sosio-ekonomi di sepanjang sempadan Malaysia dan Indonesia.

”Ini selari dengan komitmen yang saya suarakan kepada YAB Premier Sarawak tempoh hari bahawa Kerajaan Persekutuan akan memberi fokus sepenuhnya untuk meningkatkan pertahanan di sempadan termasuk sempadan Sarawak-Kalimantan, lebih-lebih lagi mengambil kira perancangan Kerajaan Indonesia untuk memindahkan ibu kotanya ke Kalimantan kelak.

”Selain itu, mesyuarat ini turut dimanfaatkan bagi membincangkan dan mengambil maklum pelaporan kemajuan aktiviti-aktiviti operasi dan bukan operasi yang telah dilaksanakan di bawah seliaan High-Level Committee.

”Lebih penting, hasil Mesyuarat GBC tahun ini, saya dan Prabowo telah mencapai beberapa kesepakatan penting khususnya berhubung keselamatan dan pertahanan di sempadan,” katanya.

Tambah Hishammuddin, ia termasuk mempercepatkan penugasan ATM dan TNI di Pos Gabungan Bersama (GABMA) yang sedia ada dan baharu melibatkan tujuh pos masing-masing di Malaysia dan Indonesia.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein (tengah) bergambar kenangan dengan Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto serta yang lain selepas mempengerusikan Mesyuarat ke-42 General Border Committee Malaysia-Indonesia (GBC MALINDO) di Wisma Perwira, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 09 OGOS 2022.

Kesepakatan lain, jelas beliau adalah mengaktifkan semula patrol terkoordinasi darat, laut dan udara yang telah tertangguh disebabkan Covid-19 sebagai langkah memperkukuhkan hubungan kerjasama antara agensi keselamatan kedua-dua negara.

”Selain itu, ia turut mewujudkan kerjasama keselamatan siber di bawah GBC MALINDO yang bertujuan membina jalinan hubungan kerjasama antara agensi siber Malaysia dan Indonesia serta meneroka inisiatif baharu dalam usaha untuk memelihara keselamatan data siber kedua-dua negara.

”Secara keseluruhannya, bagi pihak Malaysia, saya amat berpuas hati dengan pertemuan dan hasil mesyuarat dengan Prabowo hari ini.

”Malaysia amat berbangga dan akan terus menjadikan Indonesia sebagai rakan akrab dalam bidang pertahanan sampai bila-bila.

”Banyak yang telah dicapai hari ini namun Malaysia yakin banyak lagi yang boleh dikecapi bersama di masa hadapan demi kepentingan keselamatan Malaysia, Indonesia dan rantau ASEAN,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast