Nasrudin Hassan

KUALA LUMPUR – Pas kini menjadi bahan perhatian ‘terlajak laris’ untuk diperkatakan oleh semua pihak sama ada kawan atau lawan.

Pengerusi Lajnah Dakwah Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata, partinya mengamalkan pendekatan membentuk bloknya sendiri dalam mengemudi politik tanah air.

Menurut beliau, strategi itu menjadikan landskap politik negara semakin negara dan menjadikan rakyat dalam keadaan lebih selesa kerana tidak lagi terhad untuk memilih ‘salah satu antara dua’.

“Situasi ini meletakkan Pas lebih strategik dalam menentu iklim politik negara selepas hujan politik yang lebat ini kembali reda,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Pas ketika ini merupakan salah satu parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) dan pada masa yang sama berusaha mengekalkan kerjasama dengan UMNO dalam kerangka Muafakat Nasional (MN).

Namun, pendekatan ‘dua kolam’ itu setakat ini belum membuahkan hasil memberangsangkan di mana parti itu gagal memenangi sebarang kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka manakala pada PRN Johor, Pas hanya menang satu kerusi.

Nasrudin menambah, matlamat jangka pendek Pas adalah memenangi setiap pilihan raya yang disertainya agar dapat membentuk kerajaan.

“Paling tidak, Pas boleh membawa suara Islam ke Dewan Rakyat, Dewan Undangan Negeri juga Dewan Negara,” jelasnya.

Beliau turut mengingatkan ahli-ahli dan penyokong Pas bahawa perjuangan parti itu mesti menjurus kepada keredaan Allah.

“Kita tidak mahu sekali-kali terjebak dalam politik mungkar yang memulangkan kemurkaan Allah kepada kita.

“Lantaran itu kita wajib menjauhkan diri dari politik maki-hamun, fitnah dan sebagainya kerana ia adalah mungkar,” katanya. – MalaysiaGazette