Ahmad Dasuki (tengah) bersama Mohamed Noor bersama waris keluarga Allahyarhamah Nor Azira Mohamed di Perak.

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melalui Program Ziarah PTPTN Prihatin hari ini telah mengunjungi waris Allahyarhamah Nor Azira Mohamed iaitu Nur Adriana Aleeya Zulkifli.

Nur Adriana merupakan anak sulung allahyarhamah itu tinggal di
kediaman nenek beliau di Semanggol, Perak.

Semasa kunjungan ini, penyerahan manfaat takaful diberi olej Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid dan turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri Selinsing, Mohamed Noor Dawoo.

Nor Azira, 41, yang bekerja sebagai penyelia stor sebelum ini telah meninggal dunia pada 26 September 2021 lalu akibat Covid-19.

Beliau merupakan pendeposit Simpan SSPN Prime yang telah membuka akaun untuk tiga orang anak beliau dan ketika disahkan meninggal dunia, beliau mempunyai simpanan di dalam Simpan SSPN Prime yang melayakkan beliau menerima manfaat perlindungan takaful bersamaan dengan jumlah simpanan berserta khairat kematian sebanyak RM2,000.

Dalam kenyataan PTPTN, sumbangan itu merupakan keistimewaan Simpan SSPN Prime yang memberikan manfaat
perlindungan takaful percuma secara ringgit ke ringgit kepada pendeposit yang mempunyai simpanan RM1,000 dan ke atas sekiranya berlaku kematian/ ilat kekal menyeluruh kepada mereka.

Sehingga 30 Jun 2022, sebanyak 3,203 tuntutan telah dibayar dengan jumlah manfaat perlindungan takaful dan khairat kematian percuma sebanyak RM27.19 juta.

“Sememangnya nilai manfaat ini tidak dapat menggantikan kasih sayang dan tanggungjawab sebagai seorang ibu atau bapa namun simpanan di dalam Simpan SSPN Prime dan nilai manfaat diterima ini dapat menampung kos pendidikan anak-anak yang ditinggalkan, kata kenyataan yang sama.

Allahyarhamah Nor Azira telah membuat pilihan yang tepat dengan membuat perancangan kewangan untuk masa depan pendidikan anakanak melalui Simpan SSPN Prime bagi memastikan pendidikan dan masa depan anakanaknya terus terjamin.

PTPTN telah membantu masyarakat Malaysia membuat perancangan kewangan bagi tujuan pendidikan seawal usia anak-anak melalui Simpan SSPN Prime.

Simpan SSPN Prime turut menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat lain kepada pendeposit seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan bersih sehingga RM8,000 setahun, dividen yang kompetitif, Geran Sepadan sehingga RM10,000 untuk satu keluarga, patuh syariah dan dijamin oleh kerajaan.

Secara keseluruhan sehingga 30 Jun 2022, sebanyak 5.4 juta akaun Simpan SSPN telah dibuka dengan deposit simpanan berjumlah RM12.5 bilion. – MalaysiaGazette