Individu-individu yang ditahan disebuah premis di Jalan Ceylon di sini, kerana disyaki terlibat dengan aktiviti penipuan secara dalam talian. Gambar: ihsan polis

KUALA LUMPUR – Polis menahan enam individu di sebuah premis di Jalan Ceylon, di sini, kerana disyaki terlibat dengan aktiviti penipuan secara dalam talian.

Kesemua mereka yang terdiri daripada lima lelaki dan seorang perempuan berusia 19 hingga 26 tahun menjalankan kegiatan ‘Calling Centre’ yang bertujuan menipu orang ramai berkenaan tawaran kerja, kata Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Noor Dellhan Yahaya.

Menurutnya, serbuan ke atas premis terbabit dilakukan pukul 5.25 petang semalam oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Dang Wangi.

“Premis ini dijadikan tempat pengoperasian Calling Centre.

“Turut dirampas 29 unit telefon bimbit pelbagai jenama, lima unit komputer, lima unit CPU, lima unit papan kekunci, lima unit tetikus dan unit komputer riba,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Noor Dellhan berkata, hasil siasatan awal mendapati sindiket itu telah beroperasi selama hampir sebulan.

Ujarnya, kesemua suspek direman selama tiga hari mulai hari ini hingga 12 Ogos bagi tujuan siasatan lanjut.

Sehubungan itu beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada agar tidak terpedaya dan menjadi mangsa jenayah kumpulan seperti itu.

Sebarang maklumat katanya, boleh disalurkan di talian 03-26002222 atau balai polis berhampiran untuk tindakan segera. – MalaysiaGazette