Tertuduh, K P Suren, 18, berdepan hukuman penjara 70 tahun selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan merogol, melakukan persetubuhan luar tabii dan rompakan di sebuah hotel, di Melaka minggu lalu.

MELAKA – Seorang remaja berusia 18 tahun berdepan hukuman penjara 70 tahun selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan merogol, melakukan persetubuhan luar tabii dan rompakan di sebuah hotel di sini pada minggu lalu.

Tertuduh, K P Suren, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja tiga pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah merogol seorang wanita Melayu berusia 34 tahun tanpa kerelaannya sebelum menyebabkan kecederaan kepadanya.

Bagi tindakan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(2)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara minimum 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun dan hendaklah dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii dan didakwa mengikut 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukan penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun dan hendaklah dikenakan sebat.

Remaja itu juga didakwa telah melakukan rompakan wang tunai berjumlah RM100 dan sebuah telefon bimbit milik mangsa dan semasa kejadian tertuduh dengan sengaja mencederakan wanita terbabit.

Pendakwaan bagi kesalahan itu dibuat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat.

Kesemua perbuatan itu dilakukan di sebuah hotel di Taman Paya Rumput Utama dalam daerah Melaka Tengah antara jam 1.11 pagi sehingga 1.20 pagi 3 Ogos lalu.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Najwa Nazari tidak mencadangkan sebarang jaminan terhadap tertuduh namun mencadangkan jaminan sebanyak RM40,000 setiap pertuduhan sekiranya sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara.

Peguam, Suresh Bala Krishnan yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan penjamin adalah abang kepada anak guamnya yang hanya meraih pendapatan RM1,100 sebulan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM45,000 bagi kesemua pertuduhan dan kes akan disebut 7 September ini.- MalaysiaGazette