Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail ketika Majlis Penyampaian Suratan Hak Milik dan Notis 5A di Dewan Utama Majlis Daerah Jerantut pada semalam

JERANTUT- Kerajaan Negeri Pahang akan  menyenaraihitam penduduk yang sudah menerima surat hak milik tetapi bertindak menjual tanah kepada pihak lain.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tindakan tersebut bukan sahaja boleh  diambil kepada individu berkenaan bahkan ahli keluarga mereka daripada memiliki tanah pada masa akan datang.

Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

“Bukan sahaja individu berkenaan, tetapi kita juga akan menyenaraihitam keluarganya daripada menerima atau meluluskan permohanan tanah di sesebuah tempat atau daerah pada masa akan datang.

“Tidak mahu jadi amalan bila dapat tanah kemudian jual, kita bagi tanah untuk menambah kedudukan sosial ekonomi mereka boleh bercucuk tanam seperti getah, sawit dan membuahkan hasil.

Katanya, kerajaan negeri meluluskan permohonan tanah dan diberi surat hak milik bertujuan untuk membantu rakyat menjana ekonomi dan pendapatan sesebuah keluarga berkenaan seperti melakukan aktiviti pertanian selain daripada membina kediaman sendiri.

Tambah Wan Rosdy, moratarium ditetapkan dalam tempoh tertentu bagi mengelakkan penjualan tanah secara berleluasa dan kebenaran penjualan hanya perlu dibenarkan oleh kerajaan negeri.

Walau bagaimanapun sehingga kini katanya, masih belum ada kes atau laporan yang menunjukkan penjualan tanah kepada pihak lain berikutan amaran awal telah dikeluarkan.

“Tapi kalau amalan mereka jual tanah, kemudian dapat hasil duit jual tanah jadi tidak tahu duit habis kemana begitu sahaja.

“’Be the purpose’, nanti hasrat kerjaan tidak tercapai, bila dapat tanah dijual tanah sedangkan tanah merupakan sumber yang terhad,” katanya.

Wan Rosdy yang juga Ahli Dewan undangan Negeri (ADUN) Jelai berkata demikian pada sidang media sejurus menyampaikan serahan kepada seramai 1,312 orang penduduk Jerantut di dewan Utama Majlis Daerah Jerantut pada Rabu.

Sempena majlis tersebut, Wan Rosdy  menyampaikan tujuh kategori penerima, iaitu surat Hak Milik dan Rumah Rakyat Pahang kepada seorang penerima, Bantuan Peruntukan Khas (33 orang), surat Hak Milik Tanah (335 orang), Notis Borang 5A (Individu) (176 orang),

Selain itu, beliau turut menyerahkan Notis Borang 5A bagi 12 Skim Tanah Rakyat (668 orang), Notis Borang 5A RTK Felcra (65 orang/peserta) dan Surat Kelulusan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) Sangkar Ikan (34 orang pengusaha).

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris. – MalaysiaGazette