Penggunaan gajet dalam kanak-kanak perlu dikawal. Gambar hiasan

PANDEMIK Covid-19 telah banyak memberi impak kepada dunia termasuklah masyarakat Malaysia. Salah satu peningkatan yang dapat diperhatikan kesan daripada pandemik ini adalah dari segi capaian internet dan penggunaan teknologi digital dalam kalangan pengguna. Masyarakat dilihat menjadi semakin dekat dengan penggunaan teknologi digital terutama apabila ia telah menjadi satu keperluan wajib bagi setiap keluarga menyediakan kemudahan pembelajaran dalam talian buat anak-anak.

Kesannya, lebih ramai kanak-kanak pasca pandemik yang mempunyai akses yang amat mudah terhadap capaian internet. Malah, semakin ramai juga ibu bapa yang membenarkan anak-anak memiliki peranti elektronik peribadi seawal usia yang sangat muda lagi berikutan keperluan pembelajaran semasa tempoh pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Memetik artikel yang dikeluarkan oleh Statista Research Department, secara keseluruhannya wabak Covid-19 telah mencetuskan peningkatan dalam penggunaan peranti elektronik dalam kalangan kanak-kanak dan remaja Amerika Syarikat di bawah 13 tahun. Manakala masa yang diperuntukkan remaja untuk skrin peranti dua kali ganda daripada masa yang digunakan secara purata oleh semua kumpulan umur.

Kajian tersebut juga mendapati 32 peratus ibu-bapa memberi maklum balas bahawa anak-anak mereka menggunakan peranti elektronik lebih daripada empat jam sehari, namun jumlah ini telah meningkat kepada 62 peratus sejak pandemik bermula.
Perkembangan ini sedikit sebanyak telah memberi kesan terhadap perkembangan kanak-kanak.

Oleh itu, ibu-bapa harus sentiasa cakna dengan impak penggunaan teknologi digital terhadap anak mereka. Ini kerana atas alasan apa sekalipun, penggunaan peranti elektronik yang berlebihan kepada kanak-kanak boleh memberikan impak kurang baik terhadap perkembangan mereka. Antaranya masalah psikologi dan kesihatan mental, kesihatan mata, kesukaran kanak-kanak untuk fokus, serta masalah interaksi sosial yang perlu diambil perhatian.

Berdasarkan pemerhatian juga, mereka masih gemar berhubung dengan rakan-rakan sekolah melalui medium dalam talian di luar waktu sekolah dengan menghabiskan masa berjam-jam lamanya. Antara kebimbangan lain adalah, kanak-kanak dilihat lebih terdedah kepada penggunaan aplikasi media sosial yang lain yang secara umumnya turut memberi kesan yang membimbangkan. Ini kerana, kanak-kanak bawah umur mudah terpengaruh dengan trend kurang sihat yang dapat diperoleh daripada platform media sosial.

Dari sudut positif pula, pada era pasca pandemik ini, kanak-kanak akan terus mendapat akses yang lebih luas bagi pengalaman pembelajaran luar bilik darjah. Anak-anak tidak lagi bergantung kepada pengajaran guru semata-mata malah boleh merujuk kepada laman sesawang pendidikan atau YouTube bagi memperolehi lebih maklumat berkaitan topik yang diajar disekolah. Selain itu, dapat dilihat ibu bapa lebih terbuka dalam mendedahkan anak-anak kepada aktiviti berkualiti yang
dijalankan secara dalam talian contohnya seperti mengikuti kelas pengaturcaraan atau menyertai e-sukan.

Anak-anak masa kini juga dilihat lebih terkedepan dalam pelbagai sudut. Malah, kajian daripada American Cornell University Tomoe Kanaya menunjukkan bahawa skor IQ kanak-kanak di zaman ini menjadi lebih tinggi berbanding generasi terdahulu. Diharapkan ibu-bapa pasca pandemik akan memperhalusi keperluan teknologi dalam kalangan anak-anak di rumah. Keperluan untuk celik teknologi maklumat (IT) adalah sesuatu yang tidak dapat disangkal.

Namun, mengawal penggunaan peranti elektronik juga masih menjadi sesuatu yang penting untuk kebaikan bersama. Jika kawalan yang sewajarnya tidak diambil perhatian, ia berpotensi mengganggu perkembangan anak-anak yang bakal menjadi pelapis negara. Tanggungjawab ibu-bapa tidak seharusnya dilihat dari penyediaan keperluan fizikal semata, malah
keperluan mental dan sahsiah juga haruslah turut sama menjadi perhatian bagi menjamin kelestarian masyarakat.

 

Dr. Norfaradilla Wahid
Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)