Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) Unit Grafik MalaysiaGazette

KUANTAN – Sebanyak 50 peratus kawasan yang mengalami gangguan bekalan air di sini telah pulih setakat jam 10 pagi tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP), Saiful Zaini Bin Mohd Bokhari berkata, kerja- kerja pembaikan ‘air valve’ dan ‘line pump’ di Rumah Pam Kobat Lama telah siap pada jam 5.30 pagi.

“Bagaimanapun, bekalan air dijangka pulih sepenuhnya selepas 24 jam sehingga 48 jam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Kawasan yang tinggi dan jauh dari loji akan mengambil masa untuk proses dan pemulihan bekalan air secara berperingkat-peringkat,” tambahnya.

Beliau turut memaklumkanproses pemulihan di kawasan yang masih terjejas kini hanya melibatkan seluruh kawasan Beserah sehingga sempadan Chendor.

Ia termasuk MCKIP, Maritim, Bandar Damansara, Taman Dato’ Rashid, Kampung Darat Sekolah, Jeram, Sungai Karang Maju, Aspa Cottage, Jabor, Sungai Karang, Chengal Lempong, Balok, Seberang Balok, Sungai Ular, Pelabuhan, Cherating, Kubang Ikan, Kampung Alor Batu, dan Batu Hitam.

Sementara itu, Saiful Zaini menambah, PAIP akan terus menggerakkan lori-lori tangki air ke kawasan yang terjejas.

PAIP berharap pengguna yang telah menerima bekalan air menggunakan secara berhemat dan memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar.

Terdahulu, sebanyak 79,550 akaun pengguna di Kuantan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual mulai tengah malam tadi sehingga dimaklumkan ekoran masalah mekanikal pam di Rumah Pam Kobat.- MalaysiaGazette