Nasrul Ali Hasan Abdul Latif (duduk, empat dari kiri) wakil Putra Malaysia bersama ketua-ketua sayap parti Pejuang, Berjasa, Iman dan NGO dalam mesyuarat pertama yang dinamakan Gerakan Muda GTA hari ini.

KUALA LUMPUR – Kepimpinan anak muda dalam Gerakan Tanah Air (GTA) menyatakan pendiriannya menyokong penuh penubuhan gabungan yang dipengerusikan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Dalam mesyuarat pertama Gerakan Muda GTA (GMGTA) hari ini, mereka menegaskan, hasrat penubuhan gabungan parti politik dan NGO itu adalah satu gerakan rakyat yang inklusif.

Menurut kenyataan kepada media, fungsi dan peranan GTA adalah untuk mempertahankan Perlembagaan, menegakkan kebenaran dan menyatukan kekuatan orang Melayu bagi membangunkan sosio-ekonomi serta pendidikan lebih mampan.

“Gerakan Muda GTA sedar dan cakna dengan maklum balas pelbagai pihak pasca pengumuman penubuhan GTA Khamis minggu lalu.

“Ia alternatif baharu orang Melayu dan rakyat Malaysia amnya untuk menghentikan negara ini dari kemelut politik penuh drama, ketidakjujuran dan adegan lompat parti yang menyebabkan anak muda letih dengan kedudukan politik kepartian masa kini.

“Pada masa ini, anak muda pula dilihat lebih selesa untuk berpartisipasi dalam politik tanpa menyertai mana-mana parti dengan menzahirkan pandangan berkenaan isu semasa dan perkembangan politik negara melalui media sosial secara terbuka,” kata kenyataan yang sama.

Mesyuarat petang ini dihadiri ketua-ketua sayap parti dari Putra Malaysia, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Berjasa, Iman dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menurut kenyataan itu lagi, penubuhan GTA mula menjadi buah mulut dan menarik perhatian kumpulan anak muda untuk mengetahui mengenainya dengan lebih lanjut.

Namun begitu, ramai pendokong dan aktivis parti politik mula mengulas penubuhannya dengan pelbagai pandangan dan persepsi.

Justeru, GMGTA menawarkan barisan kepimpinan anak muda yang kompeten dan menyeru serta menjemput mereka menyertai GTA.

“Gerakan ini akan bersatu mengangkat kepimpinan baharu Malaysia dengan calon anak muda Melayu berwibawa, berprinsip dan berkelayakan.

“GMGTA juga bersedia dan terbuka untuk mengadakan sesi dialog serta rundingan dengan mana-mana individu, NGO atau gerakan anak muda yang mempunyai agenda serta cita-cita yang sama agar pentas politik negara segar dengan idea dan model survival anak muda sebagai generasi pelapis.

“Sudah tiba masanya untuk mengembalikan identiti sebenar kepimpinan Melayu yang pernah menempa nama dalam sejarah dunia yang penuh gemilang,” kata kenyataan itu.

Sejarah kejayaan mengubah kerajaan pada PRU-14 lalu sepatutnya dijadikan contoh dan bukti bahawa orang Melayu telah bersedia dan boleh membuat perubahan.

Ini merupakan peluang terbaik untuk seluruh anak muda agar segera bertindak bagi memastikan kelangsungan diri dan generasi yang bakal menerajui watan ini pada masa depan yang unggul serta bermaruah dengan penuh wibawa dan cemerlang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast