KUALA LUMPUR – Hospital Sungai Buloh menarik balik semua larangan menggunakan khidmat penghantaran makanan dalam talian untuk kakitangan dan pesakit.
Penarikan larangan itu berkuat kuasa serta-merta, kata Pengarahnya, Dr Kuldip Kaur A/P Prem Singh dalam kenyataan di sini.
Beliau turut mengucapkan terima kasih atas segala maklum balas dan pandangan yang dikemukakan.
Katanya, pengurusan hospital itu akan kekal komited dan prihatin terhadap keperluan dan kesejahteraan kakitangan dan pesakitnya.
Sebelum ini tular surat pekeliling mengenai larangan itu hingga Gerakan Hartal Doktor Kontrak tampil membantah ke atas larangan tersebut.
Mereka mendakwa, hospital itu tidak sensitif terhadap kakitangan yang mungkin berdepan kesukaran untuk mendapatkan makanan di kawasan hospital.
Surat pekeliling bertarikh 9 Ogos 2022 itu dikeluarkan oleh Pengarah Hospital Sungai Buloh, hasil mesyuarat ketua jabatan pada 26 Julai lalu.
Arahan larangan itu susulan terdapat laporan dan aduan peningkatan sisa pepejal dan sampah-sarap tidak terurus dan kebersihan dalam wad terjejas. – MalaysiaGazette