JERANTUT – Kerajaan Negeri Pahang memberi jaminan tidak akan meminggirkan institusi pengajian pondok, tahfiz, sekolah agama dan pusat pendidikan aliran agama bahkan akan terus dibantu bagi memartabatkan syiar Islam dalam negara.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri sentiasa mendokong perjuangan itu dengan memberikan galakan, sokongan dan bantuan kepada institusi pendidikan berteraskan agama.
Bahkan ia adalah aspirasi murni berasaskan tuntutan Islam untuk menjaga kebajikan golongan itu.
“Buktinya inisiatif bernilai RM150,000 kepada pentadbir pondok, sekolah tahfiz dan tenaga pengajar kawasan Jerantut dan Jengka menunjukkan usaha membantu institusi ini.
“Kerajaan negeri sentiasa memberi keutamaan sumber kewangan untuk kepentingan pengurusan dan pentadbiran institusi berkenaan apabila setiap tahun ada peningkatan bantuan serta inisiatif bagi pembangunan pendidikan Islam di Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap ketika sesi bersama warga Madrasah An Nabawiyah Lid Darasatil Islamiyah di Kampung Masjid, Jerantut semalam diiringi Mudir Madrasah An Nabawiyah Lid Dirasatil Islamiyah, Maulana Wan Helmi Wan Mohamed.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak, Pengerusi Jawatan Kuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad, Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris.
Wan Rosdy menyampaikan RM148,000 sebagai bantuan khas sebanyak RM3,000 kepada setiap pondok dan maahad tahfiz di Jerantut dan Jengka, insentif RM500 kepada 23 orang mudir madrasah, serta 177 guru orang menerima sumbangan sebanyak RM300 setiap seorang.
Sementara itu guru tahifiz di madrasah itu, Maulana Wan Maulana Adli al Hafiz Wan Mohammed berkata, inisiatif kerajaan negeri menjadi penguat semangat kepada tenaga pengajar untuk bersungguh mendidik penuntut tahfiz dalam usaha membantu menyebarkan usaha dakwah.
“Segala komitmen serta usaha yang kami sumbangkan kerana Allah SWT untuk mendidik lebih ramai penuntut mahir al-Quran dan ilmu berkenaan Islam,” ujarnya.
“Kami bersyukur sangat dapat sokongan dan insentif ini membuktikan kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengambil berat pembangunan institusi pendidikan agama di Pahang,” katanya.
Atikah Fairiah Zulkifli, 27, tenaga pengajar di Pusat Rauadhatul Jannah Mat Kilau, Jerantut pula menzahirkan rasa terharu apabila golongan mereka ditidak dipinggirkan oleh kerajaan negeri menghulurkan sumbangan dalam majlis berkenaan.
“Kami sangat bersyukur, selama ini kami mencari dana sana sini, tapi kali ni diberi sumbangan terus dari kerajaan negeri. Biasanya daripada masjid atau sumbangan pihak lain,” katanya. – MalaysiaGazette