KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan hari ini memberikan jaminan bahawa pelaksanaan lesen memandu vokasional (GDL) tidak akan dikuatkuasakan terhadap penunggang P-Hailing.
Menurut Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar), Zulhelmi Mansor, jaminan itu diberikan menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong setelah satu pertemuan dibuat Penghantar di pejabatnya hari ini.
“Setelah dibincangkan kita mendapat jaminan bahawa tiada pelaksanaan GDL akan dikuatkuasakan kepada penunggang P-Hailing.
“Penunggang tidak perlu lagi ambil ujian lesen GDL kerana akan ada satu pendaftaran kaedah khusus.
“Pertama tentang kebajikan dan bagaimana kerajaan nak kenal pasti mereka ini.
“GDL ini tidak akan dikuatkuasakan dan tak perlu ke institusi memandu untuk buat lesen baru dan ke Puspakom,” katanya kepada media di KL Sentral, hari ini.
Sebelum ini, Penghantar membantah syarat wajib memiliki lesen memandu GDL kerana akan membebankan kalangan penghantar p-hailing.
Pihaknya tidak setuju dengan syarat itu berdasarkan beberapa asas pelaksanaan lesen GDL termasuk motosikal penghantar p-hailing wajib menjalani proses pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).
Perjumpaan selama dua jam itu antara lain turut menjelaskan bahawa satu sistem pendaftaran penunggang P-Hailing akan dibuat dalam pindaan Rang Undang-undang (RUU) Akta Pengangkutan Jalan.
“Menteri bagitahu bahawa sebelum dibentangkan di Parlimen RUU ini ada tempoh perbincangan perlu dibuat dan menteri telah mengiktiraf kita persatuan sebagai salah satu badan untuk berunding.
“Saya kira ini bagus kerana kerajaan mahu segala isu yang berlaku dalam P-Hailing ini diselesaikan dengan cara yang baik,” katanya lagi.
Lagi menyusul…