Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong membuat gimik perasmian Majlis Perasmian Rail Technology Expo (RTX) 2022 ketika di KL Sentral, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 11 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR –  Kerajaan bersetuju untuk menubuhkan Perbadanan Pembangunan Kereta Api Malaysia (MRDC) yang akan dijadikan pusat penyelaras pembangunan industri rel bersepadu negara.

Menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong, penubuhan itu bagi meningkatkan keupayaan dan kepakaran negara dalam industri rel peringkat antarabangsa.

“Secara prinsip jemaah Menteri sudah meluluskan projek MRDC yang turut berperanan sebagai platform menambah baik pelan industri rel secara holistik.

“Dasar perolehan akan diberi keutamaan kepada industri rel tempatan yang berkelayakan dan berkualiti termasuk membangunkan projek rel di rantau Asia,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Ekspo Teknologi Rel (RTX) di KL Sentral hari ini.

Melaluinya, bakat anak-anak tempatan akan dibangunkan secara profesional seiring dengan kehendak kerajaan untuk meningkatkan keupayaan negara dalam sektor pengangkutan awam.

Dalam pada itu, Ka Siong berkata, kerajaan telah memperuntuk hampir RM150 bilion untuk pembiayaan kos infrastruktur dan sistem rel.

Ia ditambah dengan perolehan Perkhidmatan Tren Elektrik ( ETS) 3 yang dijangka beroperasi pada 2024 melalui projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru.

“Disamping itu Kementerian Pengangkutan (MOT) memandang serius tahap keselamatan penumpang agar sentiasa terjamin dengan memastikan program Maintenance, Repair & Overhaul (MRO) juga dapat dirancang dengan cekap dan efisien seperti Program MRO tahap 4 yang sedang dilaksanakan bagi rangkaian ten komuter (SCS) oleh pihak KTMB LRT Ampang Line oleh pihak Prasarana,” katanya lagi.

Pada masa ini, Ka Siong berkata, kerajaan menggunapakai istilah National Rail Centre of Excellent (NRCOE) di mana satu badan perunding bagi menyelaras industri rel.

MRDC, katanya, berfungsi sebagai satu entiti yang benar-benar diberikan kuasa untuk menjadi peneraju kepada industri rel negara. – MalaysiaGazette