Jojo Events yang dimiliki Tan Sri Syed Mohd Yusof Tun Syed Nasir bakal menganjurkan ‘Konsert Rakyat Melaka’ pada 3 September depan.

PUTRAJAYA – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) hari ini menegaskan ia tiada kaitan dengan penganjuran Konsert Rakyat Melaka pada 3 Sept di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

Dalam satu kenyataan hari ini, MOTAC berkata ia tidak menerima permohonan daripada pihak penganjur (Jojo Events) untuk bekerjasama bagi konsert tersebut sebaliknya syarikat itu hanya mengemukakan permohonan Geran Sepadan Sektor Kebudayaan (GSSK) bagi penganjuran program itu.

“Justeru, kenyataan yang menyatakan konsert tersebut dianjurkan dengan kerjasama MOTAC adalah tidak benar sama sekali,” katanya merujuk kepada sebuah laporan portal yang mendakwa ‘Konsert Rakyat Melaka’ diadakan dengan kerjasama MOTAC.

MOTAC berkata ia sentiasa menyokong program berbentuk kesenian dan kebudayaan namun memandang serius terhadap sebarang penyalahgunaan nama kementerian bagi tujuan promosi, publisiti ataupun mendapatkan dana daripada mana-mana pihak.- BERNAMA