Mohamed Shafie BP Mammal

KUALA LUMPUR – Satu Perhimpunan Solidariti Pesara-pesara Syarikat GLC Pencen Rendah akan diadakan di Putrajaya pada 18 Ogos 2022, bakal disertai oleh semua persatuan pesara khususnya dari syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Perhimpunan ini adalah untuk meluahkan perasaan tidak puas hati berhubung isu pencen rendah yang diterima oleh pesara-pesara GLC yang telah diswastakan lebih dua dekad lalu.

Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI MLC), Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, walaupun memorandum demi memorandum telah dihantar kepada kerajaan, namun tiada respons mahupun daripada Kementerian Kewangan.

Untuk rekod, UNI-MLC sendiri telah menghantar sebanyak 10 memorandum dalam tempoh 20 tahun yang lalu, mengharapkan tuntutan mereka akan dipenuhi dan diambil kira dalam setiap pembentangan belanjawan.

Malangnya tiada penyelesaian yang diharapkan, ujarnya.

Dakwanya, pesara-pesara yang menerima pencen rendah dengan kenaikan 2.0% setiap tahun masih hidup di bawah paras kemiskinan, sekali gus menjadi satu daripada masalah sosial dan ekonomi.

Malah, terdapat dalam kalangan pesara perkhidmatan GLC yang tidak mencukupi tempoh 25 tahun menerima pencen serendah RM180 sebulan.

”Kami telah meletakkan harapan agar kerajaan akan mengambil peduli dengan tuntutan yang telah dikemukakan selama ini.
Kami berharap golongan pesara terbabit akan diberi perhatian demi menjaga kebajikan mereka.

”Memandangkan tiada tindakan positif dari pihak kerajaan selama ini, kami tiada pilihan kecuali mengambil keputusan
untuk mengadakan Perhimpunan Solidariti pada 18 Ogos 2022 di Putrajaya agar tuntutan kami ini akan didengar oleh
kepimpinan semasa.

”Kami mahu suara pesara didengar oleh kerajaan dan diberikan satu penyelesaian demi menaikkan taraf hidup pesara-pesara GLC,” katanya dalam kenyataan di sini.

Ini kerana, keadaan mereka menjadi lebih parah dan teruk dengan kenaikan kos sara hidup dan krisis kesihatan pandemik
Covi-19.

“Kami berharap kerajaan semasa pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan melihat perkara ini dan akan membawa penyelesaian. Sebab itu, kami memutuskan untuk mengadakan perhimpunan ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette