KUALA LUMPUR – Puspakom Sdn. Bhd. (Puspakom) menyambut baik cadangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menyemak semula kaedah pemeriksaan kenderaan berat bagi item yang melibatkan tahap keselamatan yang tinggi seperti
pemeriksaan kecekapan brek, keselamatan tayar dan komponen lain.
Kaedah pemeriksaan yang sedia ada pada masa ini dibuat sebagaimana telah ditetapkan di bawah Kaedah-kaedah Kenderaan Motor (Pemeriksaan Berkala, Kelengkapan dan Standard Pemeriksaan) 1995.
Di bawah cadangan ini, kaedah pemeriksaan kenderaan boleh diselaraskan oleh Puspakom apabila diputuskan oleh JPJ kelak kerana ia tidak melibatkan perubahan kepada peralatan pemeriksaan sedia ada.
Dengan pengalaman yang ada, Puspakom akan memberi kerjasama yang sepenuhnya terhadap cadangan ini untuk meningkatkan lagi tahap keselamatan sesebuah kenderaan berat semasa berada di atas jalan raya.
Dalam tempoh enam bulan pertama tahun 2022, Puspakom telah menjalankan pemeriksaan secara berkala terhadap sejumlah 270,385 buah kenderaan berat.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 15.8% atau 42,772 kenderaan berat gagal mematuhi piawaian pemeriksaan yang ditetapkan oleh JPJ termasuk 4.6% atau 12,339 kenderaan berat adalah gagal ujian kecekapan brek.
Mana-mana kenderaan yang gagal, perlu menjalani pemeriksaan semula sebelum dapat dilesenkan oleh JPJ.
”Puspakom juga mengalu-alukan usaha pihak JPJ untuk meningkatkan kekerapan pemantauan terhadap operasi pemeriksaan kenderaan yang dijalankan di semua 54 pusat-pusat pemeriksaan kami di seluruh negara. Pada masa ini, pemantauan oleh pihak JPJ adalah dilakukan secara berkala.
‘Hasil daripada pemantauan tersebut, tindakan susulan yang bersesuaian telah diambil serta-merta oleh Puspakom,” katanya dalam kenyataan di sini
Pada tahun 2021 sahaja, JPJ telah menjalankan 741 pemantauan terhadap pusat-pusat pemeriksaan Puspakom di seluruh negaracselaras dengan Perjanjian Konsesi Pemeriksaan Kenderaan Puspakom dengan Kerajaan Malaysia yang mana tahap pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) perlu dipatuhi meliputi aspek-aspek penyampaian perkhidmatan yang baik kepada orang ramai, keselamatan kenderaan di jalan raya dan model perkhidmatan yang mampan.
Sehingga kini, Puspakom telah secara berterusan mencapai skor melebihi keperluan yang ditetapkan di bawah Perjanjian Konsesi.
Tambahnya, usaha-usaha untuk menyemak semula tahap keselamatan kenderaan berat perlulah seiring dengan langkah-langkah pencegahan kemalangan jalan raya yang lain seperti sikap pemandu dan pemilik kenderaan untuk menjaga dan menyelenggara kenderaan supaya sentiasa berada dalam keadaan yang selamat.
Pemeriksaan kenderaan secara berkala yang dijalankan oleh Puspakom bertujuan sebagai langkah pencegahan awal dalam mengurangkan jumlah kenderaan yang tidak selamat berada diatas jalan raya.
Memandangkan pemeriksaan yang dijalankan oleh Puspakom hanyalah pada setiap enam bulan, adalah menjadi tanggungjawab pemilik dan pemandu kenderaan berat dalam tempoh tersebut untuk memastikan setiap kenderaan milik mereka adalah selamat sebelum memulakan sebarang perjalanan. – MalaysiaGazette