JERANTUT – Generasi hari ini patut meneladani semangat patriotisme dan pemantapan akidah Islam dalam melindungi agama, bangsa, negara.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata keperibadian pahlawan Melayu Pahang, Mat Kilau dalam mempertahankan tanah air daripada penjajahan British wajar penjadi pedoman kepada anak muda supaya mencintai negara.
“Mat Kilau yang mempunyai pengetahuan luas dalam bidang agama merupakan pahlawan Melayu terbilang kerana telah berjuang menentang penjajah Inggeris di negeri Pahang sekitar tahun 1880-an.
“Sebenarnya banyak nilai dan teladan beliau yang kita boleh jadikan panduan dalam kehidupan seharian kita seperti kekentalan semangat perjuangan dan perasaan cintakan tanah air yang mendalam, ini bertepatan pula dengan sambutan kemerdekaan pada bulan ini,” katanya selepas menziarahi Makam Pahlawan Mat Kilau di Kampung Kedondong, Pulau Tawar, Jerantut semalam.
Jelasnya Mat Kilau sebagai tokoh perjuangan Melayu berpotensi menjadi ikutan dizahirkan semula menerusi ilmu persilatan, menyuburkan akidah Islam serta penulisan sejarah juga sebagai panduan dan ikutan generasi hari ini.
Kerajaan negeri akan memelihara dan menjaga artifak sejarah perjuangan Mat Kilau di Pulau Tawar serta tempat lain, di samping memartabatkan dunia seni persilatan kepada generasi anak muda terutamanya.
“Sebagai mengenang jasanya dan mengangkat kembali perjuangannya, Mat Kilau telah dianugerahkan sebagai Tokoh Maal Hijrah di peringkat negeri Pahang pada 30 Julai lalu.
“Saya mendoakan semua roh para pejuang tanah air kita dirahmati Allah s.w.t dan semoga tanah air kita tidak pernah kering daripada melahirkan pejuang-pejuang tanah air yang bersemangat waja.
“Mungkin bentuk perjuangan berbeza, tapi semangat yang kental tetap sama,” katanya. – MalaysiaGazette