Antara dadah yang dirampas

JASIN – Dua tokan dadah termasuk seorang tukang kebun dicekup polis menerusi Op Tapis di sini bermula Isnin lalu sehingga pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Mispani Hamdan berkata, suspek lelaki berusia 37 tahun itu ditahan kira-kira jam 6 petang Isnin lalu oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin di hadapan Balai Raya Taman Harmoni, Merlimau.

“Hasil pemeriksaan terhadap tubuh suspek, polis merampas satu beg mengandungi enam paket plastik lutsinar disyaki dadah syabu dengan anggaran berat 51.26 gram serta dua rangkai kunci.

“Siasatan awal suspek yang juga tukang kebun mengaku dadah itu miliknya dan ujian saringan air kencingnya positif dadah methamphetamin,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mispani berkata, polis turut menyita sebuah motosikal Yamaha LC135 bernilai kira-kira RM4,000 daripada suspek beralamat di Kandang dekat sini.

Mispani Hamdan

Katanya, pemeriksaan juga mendapati suspek terbabit dengan dadah selama 10 tahun dan turut mempunyai dua rekod mengikut Seksyen 12(3) dan Seksyen 3 (1) ADB LLPK 1985.

Manakala dalam serbuan terbaharu awal pagi tadi katanya, polis turut menahan seorang penganggur berusia 48 tahun yang dipercayai menjadi tokan dadah kecil-kecilan di sekitar Merlimau dan Sungai Rambai.

“Lelaki terbabit ditahan kira-kira jam 1.50 pagi di sebuah rumah di Kampung Sempang Pantai, Merlimau dan hasil pemeriksaan fizikal polis merampas satu beg silang berwarna hijau mengandungi pelbagai jenis dadah pada badan suspek.

“Pemeriksaan beg itu mengandungi 30 paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah heroin anggaran berat 207 gram dan dua peket plastik lutsinar mengandungi 22 paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki syabu kira-kira 52 gram,” katanya.

Tambahnya, turut dirampas satu paket plastik lutsinar berisi empat keratan timah warna perak berisi 24 biji pil disyaki Erimin 5, anggaran berat 8 gram dan satu paket plastik lutsinar berisi ketulan mampat dan cebisan daun-daun kering disyaki dadah ganja anggaran berat dua gram.

“Suspek membeli dadah ini untuk jualan secara kecil-kecilan kepada penagih dadah di sekitar kawasan Merlimau dan Sungai Rambai,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mispani berkata, hasil soal siasat, suspek mengaku dadah yang dirampas itu diperoleh daripada seorang lelaki di Muar.

Katanya, suspek terbabit dengan dadah selama 30 tahun dan memiliki sembilan rekod kesalahan lampau mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan ADB Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.

“Ujian saringan air kencing suspek juga didapati positif dadah jenis MOP,” katanya sambil menambah siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B, Seksyen 12 (2) dan Seksyen 6 ADB 1952. – MalaysiaGAzette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast