medical officer MO on-call
Khairy Jamaluddin Abu Bakar

JOHOR BAHRU – Sekurang-kurangnya 130,000 penduduk Johor disasarkan menjalani saringan kesihatan secara percuma pada tahun ini.

Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaaan yang dilancarkan sejak Julai merupakan teras ketiga Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS), iaitu kawalan kesihatan kendiri yang fokus kepada individu, keluarga dan komuniti bagi melahirkan rakyat yang sihat.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, beliau  mahu kerajaan negeri membantu memastikan individu yang layak membuat saringan kesihatan bagi membolehkan penyakit-penyakit tidak berjangkit (NCD) dikesan lebih awal dan dipantau Pejabat Kesihatan Daerah.

“Kalau kita ke hospital, saya rasa sebahagian besar mungkin lebih 70 peratus kes kes yang sebenarnya dapat dielak, ini penyakit tidak berjangkit.

“Jadi kita fikir di kementerian kita perlu bawa satu gerakan ke arah kehidupan lebih sihat, sebab tu kita bawa agenda ini dan kita mahu supaya rakyat kita lebih sihat,” katanya ketika berucap semasa majlis pelancaran Jelajah ANMS Peringkat Negeri Johor. di sini, hari ini.

Sementara itu, Khairy Jamaluddin berkata, ANMS dilaksanakan untuk tempoh 10 tahun, bermula 2021 hingga 2030 dan ia dibahagikan kepada dua penggal.

Katanya, penggal pertama adalah pada 2021 hingga 2025 dan penggal kedua bermula 2026 hingga 2030. – MalaysiaGazette