Pengarah Penerangan Negeri Terengganu yang juga Ketua Konvoi KMKM 2022 peringkat Negeri Terengganu, Sait Yaman menyerahkan baton Jalur Gemilang KMKM 2022 kepada Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad dalam majlis di Dewan Arena YAM Raja Muda Pahang, Maran hari ini Ihsan : Jabatan Penerangan Malaysia Pahang

MARAN – Konvoi Kembara Merdeka Keluarga Malaysia (KMKM) 2022 peringkat Negeri Pahang bermula di Dewan Arena YAM Raja Muda Pahang, di sini, hari ini.

Pelepasan konvoi yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad akan bergerak ke lapan ‘check point’ di lapan Daerah di Pahang sehingga 14 Ogos ini.

Pelepasan konvoi Kembara Merdeka Keluarga Malaysia (KMKM) 2022 peringkat Negeri Pahang yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad di Dewan Arena YAM Raja Muda Pahang, Maran.

Kumpulan itu terlebih dahulu menerima baton Jalur Gemilang KMKM 2022 yang diserahkan oleh Pengarah Penerangan Negeri Terengganu yang juga Ketua Konvoi KMKM 2022 peringkat Negeri Terengganu, Sait Yaman.

Konvoi yang membabitkan 20 buah kenderaan Kelab Permotoran BMW K16 itu tiba di sini dari Kemaman, Terengganu kira-kira jam 10.30 pagi tadi.

Baton tersebut kemudian diserahkan kepada Syed Ibrahim dalam majlis sempena Kembara Merdeka Keluarga Malaysia peringkat Daerah Maran, Pahang yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan (ADUN) Luit, Sofian Abd Jalil.

Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang 2022 dan Kembara Merdeka Keluarga Malaysia peringkat Daerah Maran, Pahang di Dewan Arena YAM Raja Muda Pahang, Maran hari ini.

Seterusnya, konvoi KMKM 2022 dijadual tiba di ‘Check point’ kedua iaitu Jerantut Feri pada pukul 2.30 petang dan Lipis Plaza pada jam 4.15 petang hari ini.

Perjalanan konvoi berkenaan akan diteruskan ke Laman Sejahtera, Sungai Koyan dan SMA Al-Falah Batu Talam, Raub esok.

Pada Ahad, konvoi terbabit akan ke ‘check point’ di Hotel Green Park, Temerloh diikuti Laman Kerayong, Bera dan mengakhiri pengembaraan di Pejabat Penerangan Daerah Rompin pada jam 12 tengah hari.

Pada hari sama, Majlis Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Pahang akan diadakan di Semantan Walk Lurah, Semantan, Temerloh pada jam 8.45 malam yang akan dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

KMKM 2022 bermula pada 30 Julai ketika Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 di Putrajaya dan akan berakhir pada 31 Ogos ini. – MalaysiaGazette