hakim Zaid Ibrahim Najib Razak SRC International
Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Datuk Zaid Ibrahim menafikan laporan media bahawa firma guamannya menarik diri daripada mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam rayuan kes SRC International yang bermula di Mahkamah Persekutuan Isnin ini.

Beliau terkejut apabila kenyataan yang didakwa dibuat di dalam kamar timbalan pendaftar mahkamah tersebar dengan pantas kepada media selepas perbicaraan pengurusan kes.

“Saya tidak tahu siapakah sumber laporan media tersebut. Walau apa pun, laporan tersebut adalah tidak benar dan tidak tepat.

“Firma saya, Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners tidak membuat sebarang kenyataan semasa perbicaraan pengurusan kes di dalam kamar bahawa firma ini akan melepaskan diri sebagai peguam cara.

“Kami tidak mengabaikan anak guam kami. Sebarang laporan media yang melaporkan perkara sebaliknya adalah berniat jahat dan dikesali,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan dalam laman Facebook miliknya, hari ini.

Zaid menjelaskan, firmanya bersetuju mengambil kes tersebut kerana percaya bahawa Najib mempunyai rungutan yang sah berhubung sabitannya, khususnya mengenai perkara-perkara berkaitan kedaulatan undang-undang, undang-undang berkaitan bias dan konflik kepentingan.

Menurut beliau, ia merupakan tugas yang mulia bagi mana-mana peguam untuk mewakili tertuduh dengan rungutan sedemikian.

Pada masa yang sama, Zaid menyatakan, beliau tidak mempunyai prasangka terhadap kes tersebut dan penghakiman adalah di bawah bidang kuasa mahkamah.

“Sebagai peguam, tugas kami adalah untuk mewakili kes anak guam sebaik mungkin,” jelasnya.

Beliau menambah, pasukan guamannya akan memastikan Najib menerima perbicaraan yang penuh dan adil, seperti yang diharapkan oleh Ahli Parlimen Pekan itu.

Zaid juga kesal dengan serangan yang dibuat oleh pihak tertentu terhadap firmanya dan dirinya secara peribadi.

Beliau menyifatkan kenyataan Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin semalam yang menyindir bahawa peguam yang mengambil kes pada saat akhir kerana bermotifkan wang adalah sangat tidak adil.

“Saya ingin menyatakan bahawa sepanjang kerjaya saya sebagai peguam dan ahli politik, saya tidak pernah melakukan sesuatu kerana wang atau jawatan. Keadilan adalah apa yang penting bagi saya,” katanya.

Beliau menambah, adalah tidak masuk akal untuk mengatakan tiada justifikasi untuk pertukaran peguam pada saat akhir.

Malah, Zaid berkata, terdapat keperluan untuk pertukaran perspektif dan mengatur semula hujah dalam pembelaan kes anak guamnya.

Beliau turut menyangkal kritikan kononnya pelantikan firmanya adalah usaha untuk melambat-lambatkan proses rayuan kerana tindakan serupa pernah dilakukan dalam kes-kes berprofil tinggi yang lain.

“Saya percaya bahawa firma saya telah membawa perspektif baharu terhadap kes ini.

“Atas nasihat kami, Datuk Seri Najib telah meninggalkan proposisi yang dikemukakan sebelum ini,” jelasnya sambil menambah bahawa firmanya akan terus mewakili Najib selagi ia diberi kepercayaan untuk berbuat demikian.

Pada 8 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan salah serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke atas Najib selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana SRC. – MalaysiaGazette