media sosial
Foto Arkib MG: HAZROL ZAINAL

STATISTIK yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan untuk 2021 menunjukkan peratusan penggunaan media sosial yang agak tinggi bagi tujuan politik.

Sebanyak 97.8 peratus pengguna media sosial di Malaysia menggunakan aplikasi WhatsApp untuk ‘sembang politik’ diikuti Facebook Messenger 53.9 peratus terutamanya oleh golongan yang agak berusia.

Selain itu, sebanyak 40.1 peratus pengguna media sosial di negara ini lebih gemar menggunakan Telegram untuk tujuan yang sama khususnya golongan muda yang merupakan 80 peratus pengguna aplikasi ini.

Sebanyak 27.7 peratus menggunakan WeChat diikuti Skype (14.5 peratus), Line (8.2 peratus) dan aplikasi-aplikasi lain ( 0.2 peratus).

Tidak ketinggalan adalah aplikasi yang sedang meningkat popular iaitu TikTok. Berdasarkan unjuran oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), penggunaan aplikasi tersebut boleh mencapai sehingga 30 peratus tahun ini.

Semua maklumat tersebut dikongsi oleh pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Dr. Ismail Sualman ketika menjadi ahli panel program Bicara Nasional: Senario Politik Semasa Di Malaysia anjuran Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, semalam.

Prof. Datuk Dr. Ismail Sualman (paling kanan) ketika menjadi ahli panel Bicara Nasional: Senario Politik Semasa Di Malaysia di UPM, Serdang, semalam. Program yang dikendalikan oleh Prof. Dr. Zaid Ahmad (paling kiri) dari UPM itu turut disertai dua ahli panel lain iaitu Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Datuk Dr. Raduan Che Rose (dua dari kiri) serta pensyarah UPM, Prof. Datuk Dr. Jayum Jawan (dua dari kanan).

Melihat kepada perkembangan yang memberangsangkan dari segi penggunaan media sosial khususnya aplikasi sembang di negara ini, mungkin ramai yang menjangka ia boleh dijadikan strategi utama bagi parti-parti politik untuk berkempen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Lebih-lebih lagi apabila mengambil kira fakta kira-kira 89 peratus rakyat Malaysia menggunakan internet di mana penggunaan internet untuk tujuan politik adalah sekitar 39.2 peratus dan 63 peratus pengguna tegar meluangkan masa antara enam hingga lapan jam sehari di ruang maya.

Walau bagaimanapun, Ismail mempunyai pandangan berbeza. Malah, beliau secara terang-terangan menjangka mana-mana parti politik yang menggunakan internet semata-mata akan kalah.

Beliau berpandangan, media sosial hanya berperanan memberi kesedaran kepada orang ramai manakala kaedah konvensional seperti ceramah, perhimpunan dan kunjungan ke rumah adalah lebih berkesan untuk memancing undi.

Kata Ismail, telah terbukti dalam beberapa pilihan raya sebelum ini bahawa kaedah bersemuka dengan pengundi adalah lebih berkesan jika dibandingkan dengan penggunaan media sosial.

Kaedah yang terbaik, kata beliau, adalah dengan menggabungkan penggunaan media baharu dan kaedah konvensional yang bagi merayu pengundi untuk memilih calon-calon yang diketengahkan oleh parti-parti politik.

Dalam hal ini, Barisan Nasional (BN) dilihat mempunyai kelebihan berbanding parti-parti lain. UMNO sahaja mempunyai 3.2 juta ahli yang boleh digerakkan bila-bila masa sebagai jentera untuk bersemuka dengan rakyat di seluruh pelosok negara.

Kelebihan ini merupakan antara faktor yang menyumbang kepada kemenangan besar BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

Pas pula dikatakan mempunyai kira-kira sejuta ahli dan begitu juga dengan PKR dan DAP. Manakala parti-parti lain seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Amanah Negara (Amanah) mungkin hanya sekitar ratusan ribu ahli.

Dengan jentera akar umbi yang lebih tersusun berbanding parti-parti lain serta pasukan media sosial yang mantap, BN pasti mengulangi kejayaan PRN Melaka dan Johor di peringkat Pusat pada PRU-15 nanti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast