Mayat seorang lelaki yang ditemui mati dalam keadaan tertiarap dengan kesan beberapa tembakan pada badannya dalam kejadian di Alam Jaya, Puncak Alam Jumaat lalu. Ihsan Netizen.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki, 29, ditemui mati dengan beberapa kesan tembakan pada badannya di Jalan Tiaj 1/4, Taman Alam Jaya, Puncak Alam, Kuala Selangor hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Ramli Kasa berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam lebih kurag 11.40 pagi  tadi.

“Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuala Selangor telah bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati seorang lelaki dalam keadaan tertiarap bersama sebuah motosikal jenis Yamaha LC135 dipercayai ditunggang oleh mangsa semasa kejadian.

Kejadian itu berlaku di  deretan rumah kedai 1 tingkat Pusat Industri Alam Jaya.

Tambah beliau, berikutan kejadian itu, pihak forensik IPK Selangor telah dihubungi untuk meneruskan siasatan lanjut mencari barang kes dan bukti di lokasi.

“Hasil siasatan menemui beberapa kelongsong peluru dan pemeriksaan pada tubuh simati terdapat beberapa kesan tembakan pada tubuh simati.

“Sehubungan dengan itu, satu siasatan telah dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” tegasnya.

Satu video tular berkaitan insiden tembakan itu daripada awam menunjukkan mangsa lelaki berkulit gelap dengan berpakaian baju kemeja biru beserta seluar pendek dan memakai beg silang tertiarap dalam keadaan berlumuran darah di bahu jalan utama Alam Jaya.

Kenderaan MPV polis beserta beberapa anggota polis melakukan siasatan di lokasi kejadian itu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette