S. Gobi Krishnan (kanan) meninjau perkembangan PRMM di kawasan Parlimen Batu.

KUALA LUMPUR – Selepas lebih 25 tahun berjuang membela kaum India terutama penduduk Kampung Railway Sentul mendapatkan rumah, akhirnya usaha itu bakal menjadi kenyataan.

Ini berikutan Projek Rumah Mampu Milik (PRMM) yang akan didiami kira-kira 250 keluarga terbabit dijangka siap sebelum akhir Disember ini.

Ketua Sayap Bersatu Bahagian Batu, S. Gobi Krishnan berkata, beliau bersama pasukan turun ke PRMM untuk memantau perkembangan pembinaannya oleh pemaju YTL/Sentul Raya.

“PRMM ini adalah untuk 250 keluarga bekas penduduk Kampung Railway Sentul yang majoritinya kaum India.

“Projek ini tertangguh lebih 25 tahun dan akhirnya telah mencapai perkembangan memberangsangkan serta dijangka siap dibina dalam masa tiga bulan lagi,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini, hari ini.

Kata Ketua Penerangan Sayap Bersekutu Nasional Bersatu itu, dengan perkembangan memberangsangkan itu, janji parti Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) kepada bekas penduduk Kampung Railway Sentul dan Parlimen Batu telah ditunaikan.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Presiden Bersatu yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin atas sokongan dan dokongan supaya projek itu siap mengikut masa ditetapkan. – MalaysiaGazette