Mohd Khairuddin Othman

SHAH ALAM – Karnival Kerjaya Mega Selangor yang akan berlangsung selama dua hari pada 29 dan 30 September ini bakal menyediakan kira-kira 50,000 peluang pekerjaan kepada rakyat negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Modal Insan negeri, Mohd Khairuddin Othman berkata, jumlah itu dijangka melibatkan hampir 500 majikan yang akan mengambil bahagian dalam karvinal itu.

Kata beliau, sehingga hari ini sekretariat karnival siri kedua itu sudah menerima lebih 100 majikan yang berminat menyertainya yang akan diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.

Jelasnya, kerajaan negeri mengalu-alukan rakyat Selangor khususnya dalam kalangan belia dan orang kelainan upaya (OKU) mengambil peluang itu untuk merebut jawatan yang ditawarkan.

Selangor Mega Job Fair 2022 kali pertama berlangsung di Pusat Konvensyen MBSA pada 11 dan 12 Jun lalu yang disertai lebih 100 syarikat termasuk badan kerajaan dan agensi kerajaan negeri.

“Ia berjaya membantu 1,996 individu mendapat pekerjaan, manakala 3,601 pemohon dipanggil menghadiri temuduga kali kedua oleh majikan setakat bulan lalu.

Individu yang berminat boleh mendaftar melalui www.selangorjobportal.com.my untuk mendapatkan maklumat lanjut. – MalaysiaGazette