Protes tuntut kehilangan kapal LCS yang akan berlangsung di hadapam Sogo KL tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa polis.

KUALA LUMPUR – Warga ibu kota dinasihati polis agar tidak menyertai atau terlibat dalam himpunan ‘Protes Mana Kapal LCS’ yang akan diadakan di ibu negara pada jam 2 petang esok.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, polis ambil maklum mengenai himpunan itu yang ditularkan di media sosial itu.

Katanya, seehingga kini polis belum menerima sebarang notis pemberitahuan mengenai protes itu daripada pihak penganjur yang bertanggungjawab.

“Kita sedia maklum mengenai penularan maklumat mengenai perhimpunan ‘Protes Mana Kapal LCS’ itu namun polis belum menerima sebarang notis pemberitahuan mengenai protes itu daripada pihak penganjur yang bertanggungjawab.

“Dalam hal ini saya menasihati warga kota agar menghormati dan mematuhi undang-undang yang ditetapkan demi menjamin ketenteraman dan keamanan di ibu negara dan jangan menyertai protes tersebut yang tidak mematuhi undang-undang di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Bagaimanapun, polis akan memantau keadaan pada hari esok,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Polis menasihati orang ramai khususnya warga kota agak mengelak menyertai protes berkenaan atau berdepan tindakan undang-undang.

 

Beliau dalam perkembangan sama memberi amaran tindakan tegas akan menyusul terhadap mana-mana individu yang cuba memprotes dan mengganggu-gugat ketenteraman di ibu kota.

“Saya minta orang ramai jangan menyertai protes berkenaan yang melanggar undang-undang yang diperuntukkan dan tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuatkuasa kepada sesiapa yang menyertai perhimpunan ini.

“Polis akan memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mencabulinya,” tegasnya.

Terdahulu poster yang mengajak orang ramai menyertai Protes Mana Kapal LCS itu tular di media sosial.

Protes yang tidak dapat dipastikan siapa penganjurnya  membuat  tiga tuntutan yang perlu dijawab kerajaan.

Kumpulan itu merancang protes itu di hadapan pusat membeli belah di Jalan Tunku Abdul Rahman jam 2 petang. – MalaysiaGazette