Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ketika mengadakan sesi walkabout ke tapak jualan pada Program Jualan Keluarga Malaysia di AEON BiG Danau Kota, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 13 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Program Jualan Keluarga Malaysia yang telah dilaksanakan kerajaan selama ini demi kesejahteraan dan manfaat rakyat negara ini bakal dijenamakan semula dengan nama Jualan Murah Keluarga Malaysia.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Azman Mohd Yusof berkata, penjenamaan semula itu akan diumum dan dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada minggu hadapan.

“Pada awalnya program jualan Keluarga Malaysia ini sepatutnya ditamatkan pada 31 Julai yang lalu, tetapi memandangkan sambutan yang begitu hangat dan luar biasa diterima daripada keluarga rakyat Malaysia, maka kerajaan membuat keputusan untuk meneruskannya sehingga akhir tahun ini.

“Tetapi kita mengambil pendekatan untuk menambah baik fungsi program berkenaan dengan menjenamakan semula dengan nama Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) dan ia akan dilancarkan secara rasmi oleh Ismail Sabri Yaakob di Bera, Pahang pada minggu hadapan,” katanya beliau.

Beliau berkata demikian selepas hadir melancarkan Consumer Fun Ride dan juga Jualan Keluarga Malaysia peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Tapak Parkir Pasaraya Aeon Big Sdn.Bhd Danau Kota, Setapak di sini tengah hari tadi.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bergambar kenangan bersama peserta-peserta konvoi dan tetamu yang hadir Program Jualan Keluarga Malaysia di AEON BiG Danau Kota, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 13 OGOS 2022.

Bercakap pada sidang media, beliau menambah,  program Jualan Keluarga Malaysia mendapat sambutan amat memberangsangkan di setiap kawasan parlimen dan kerajaan tempatan sejak ia diperkenalkan bagi mengurangkan beban kenaikan harga barang.

“Selama ini Jualan Keluarga Malaysia hanya diperluaskan di semua 222 kawasan Parlimen, tetapi selepas penjenamaannya sebagai JMKM, ia akan dilaksanakan di kesemua lebih 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara.

“Kerajaan sentiasa amat peka dan sensitif dengan beban kenaikan barang pengguna dan  dengan konsep penjenamaan semula ini kita akan menambah baik dan seimbangkan semula keperluan sektor perniagaan dan pengguna agar kedua-dua sektor ini berada dalam situasi menang-menang.

“Kita perluaskan program JMKM ke kawasan DUN dengan harapan semua kepimpinan tempatan memberikan sokongan padu dan jitu kepada inisiatif kerajaan yang menyumbang penawaran barang keperluan hingga 30 peratus diskaun memanfaatkan pengguna,” ujar beliau.

Lagipun katanya, program Jualan Keluarga Malaysia yang selama ini dipelopori secara tunggal oleh KPDNHEP akan diuruskan dengan kerjasama dan penyertaan lima lagi kementerian selepas ini.

“Saya optimis Program Jualan Murah Keluarga Malaysia nanti akan menerima kerjasama dan penyertaan ramai peniaga di setiap DUN di seluruh negara demi manfaat dan kesejahteraan bersama memerangi kenaikan harga barang yang menyebabkan rakyat sengsara,” tambahnya. – MalaysiaGazette