Warga UK patah kaki ketika mandi di air terjun Kanching di Rawang dalamkejadian pagi tadi diselamatkan bomba dan penyelamat. Ihsan Bomba Selangor

KUALA LUMPUR – Hasrat seorang lelaki warga asing mahu menghabiskan cuti hujung minggu dengan bermandi manda di air terjun dan menikmati keindahan hutan tropika berakhir dengan tragedi apabila terjatuh hingga tercedera parah.

Kejadian dilaporkan berlaku di Air Terjun Rimba Eco Kanching yang terletak di Rawang Selangor.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor, Norazam Khamis berkata, bilik gerakan operasi negeri telah menerima panggilan awam yang memaklumkan mengenai kejadian seorang lelaki terjatuh ketika mandi di air terjun sekitar jam 10.22 pagi tadi.

Warga UK diusung anggota bomba selepas patah kaki ketika mandi di air terjun Kanching di Rawang.  Ihsan Bomba Selangor

“Bertindak atas maklumat panggilan awam itu, sebuah jentera dan sembilan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rawang telah bergegas ke lokasi.

“Selepas tiba di tempat air terjun itu jam 11.30 pagi tadi, mendapati seorang lelaki warga United Kingdom berusia 31 tahun terjatuh ketika mandi manda di air terjun Kanching,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan tengah hari ini.

Mangsa dikenalpasti sebagai Christopher Jonathan Strutt, bekerja di sebuah syarikat swasta tempatan di negara ini.

Tambah beliau, mangsa masih dalam keadaan sedar dan patah kaki kanan selepas terjatuh ketika mandi di air terjun itu.

Katanya,mangsa telah diberi rawatan awal sebelum sebuah ambulans membawanya ke Hospital Selayang. – MalaysiaGazette