Gambar hiasan

KUALA LUMPUR –  Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives diunjurkan diniagakan tinggi minggu depan kerana juruukur kargo menjangkakan anggaran eksport minyak sawit yang lebih tinggi, kata seorang peniaga.

“Kami menjangkakan pasaran minggu depan akan didagangkan dengan kecenderungan meningkat dengan harga komoditi itu dijangka diniagakan antara RM4,000 dan RM4,600 setan metrik disebabkan jangkaan eksport yang lebih kukuh,” kata peniaga minyak sawit David Ng kepada Bernama.

Bagi dagangan yang baru berakhir pada minggu ini, niaga hadapan MSM Malaysia kebanyakannya diniagkan lebih tinggi, disokong oleh keuntungan dalam niaga hadapan minyak kacang soya di Lembaga Dagangan Chicago (CBOT) dan sentimen yang lebih kukuh dalam pasaran global.

Bagaimanapun, Malaysia akan terus menghadapi persaingan sengit dalam pasaran MSM dari Indonesia kerana negara itu akan menghapuskan inventori yang melambung tinggi menjelang bulan pengeluaran puncaknya.

Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) berkata inisiatif yang diumumkan oleh Indonesia baru-baru ini bahawa ia mungkin akan meningkatkan eksportnya, justeru ia juga dijangka menjejaskan Malaysia.

Kerajaan Indonesia mengumumkan bahawa ia akan mempertingkatkan keperluan Obligasi Pasaran Domestik (DMO), menyemak semula harga rujukan MSM setiap dua minggu dan bukannya setiap bulan serta menyemak semula struktur duti eksportnya.

“Memandangkan harga rujukan MSM Ogos turut diturunkan kepada AS$872.27 (AS$1-RM4.44) satu tan metrik, duti eksportnya dikurangkan secara drastik kepada AS$52 setan metrik daripada AS$288 satu tan metrik untuk membantu meningkatkan eksportnya. Langkah-langkah ini berkemungkinan meningkatkan eksport Indonesia dan pada masa yang sama menjejaskan eksport Malaysia,” katanya.

Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, bulan semerta Ogos 2022 bertambah RM412 kepada RM4,432 satu tan metrik, September 2022 meningkat RM482 kepada RM4,405 satu tan metrik dan Oktober 2022 naik RM529 kepada RM4,407 satu tan metrik.

November 2022 melonjak RM532 kepada RM4,411 satu tan metrik, Disember 2022 meningkat RM519 kepada RM4,432 satu tan metrik dan Januari 2023 bertambah RM508 kepada RM4,474 satu tan metrik.

Jumlah dagangan merosot kepada 284,000 lot daripada 336,919 lot pada minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 191,133 kontrak daripada 195,371 kontrak sebelum ini.

Harga MSM fizikal bagi Ogos Selatan meningkat sebanyak RM400 kepada RM4,450 satu tan metrik. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast