KUALA LUMPUR – Pas tidak menolak kemungkinan parti itu bersama pakatannya dalam Perikatan Nasional (PN) termasuk UMNO dan Bersatu akan menjadi pembangkang pada PRU15 ini jika terus berpecah.
Peringatan itu dizahirkan Naib Presidennya, Senator Datuk Idris Ahmad yang meramalkan tidak mustahil perkara itu berlaku sekiranya parti politik Melayu dan Islam yang ditunjangi tiga parti komponen PN itu tidak bersatu.
“Sekiranya parti politik Melayu dan Islam terus berpecah, maka tiada yang akan memenangi kerusi pilihan raya dan akan kembali menjadi pembangkang.
Bahkan, parti lain sekali pun tidak akan memenangi pilihan raya sekiranya bertanding bersendirian pada PRU15 ini.
“Tolong senaraikan kerusi mana yang kita berlagak sangat kalau kita berpecah kita boleh menang? Tolong senaraikan. Sebab itu kalau kita berpecah, keputusan PRU15 akan sama seperti PRU14,” katanya ketika merasmikan Jentera Pilihan Raya Pas Kawasan Gombak di Dataran Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) di Taman Melewar, di sini semalam.
Beliau turut mengingatkan kepada partinya, UMNO dan Bersatu agar mendengar nasihat daripadanya supaya ‘jangan sudah terhantuk, baru terngadah’.
Ketika itu, tegasnya, tidak akan ada maknanya lagi kerana ‘nasi sudah menjadi bubur’ disebabkan sentimen ketika ini sesama parti Melayu dan Islam marah kepada satu sama lain.
“Kita lupakan, tak perlulah kita nak ungkit sejarah-sejarah apa yang mereka lakukan, tapi kita berjiwa besar, kita buka buku baru. Kita berpolitik biar nampak cerdik. Biar kita mati esok anak cucu kita kenang kita.
“Jangan kita mati nanti, anak cucu kita kencing atas kubur, datukku memang tak guna punya orang, berjuang kerana kepentingan perut. Nak bergaduh hingga kami jadi macam ni.
“Selama 22 bulan bawah Pakatan Harapan (PH) tak serik lagi ke, Allah Taala masih sayang kepada kita,” katanya. – MalaysiaGazette
Pas mmg hebat sebagai pembangkang jer, jika jd kerajaan hancur negara diorg buat sbb pas parti yg para pemimpinnya tiada pendirian tetap. Apa pas ingat rakyat Malysia ni bodoh mcm segelintir pemimpin diorg..TOLONG LAH CERMIN SIKIT SEBELUM KELUAR KENYATAAN JANGAN BAGI MALU RAKYAT NEGERI PAS.