Gambar hiasan

SETIAP majikan dan pekerja tidak akan terlepas dengan cabaran dan dugaan sama ada dalam bentuk tanggugjawab dan tugas, gelagat organisasi termasuklah budaya organisasi, karenah birokrasi, tingkah laku pekerja dan ketua termasuklah cabaran politik pejabat. Politik pejabat boleh ditakrifkan sebagai sebarang bentuk agenda, rancangan yang tidak berlandaskan visi dan misi syarikat atau apa-apa tindakan yang dilakukan bukan untuk kepentingan bersama. Ia banyak menjurus kepada kesan negatif untuk kepentingan seseorang individu sama ada inginkan perhatian daripada pihak tertentu yang tidak wajar tindakannya untuk berkembang dan bersaing secara tidak sihat dengan apa cara sekali pun.

Harus diingatkan bahawa, sekiranya organisasi gagal untuk membendung budaya politik pejabat yang tidak sihat ini dalam organisasi pelbagai kesan negatif akan wujud di tempat kerja sama ada terhadap pekerja atau pun majikan. Antara kesan-kesan yang akan dihadapi oleh pihak pekerja sekiranya politik pejabat ini tidak diuruskan dengan sewajarnya maka kepuasan pekerja akan menurun, berlaku pertikaian dan konflik, tekanan dan kerisauan meningkat yang akhirnya akan menyebabkan motivasi pekerja akan menurun. Pekerja merasakan mereka berada dalam organisasi yang tidak harmoni dan tidak selamat untuk terus berkhidmat dan terus menyumbang.

Dari sudut majikan pula, antara kesan negatif yang akan dihadapi adalah kadar peningkatan pekerja berhenti “staff turnover” akan berlaku dalam organisasi. Ini akan lebih merugikan lagi sekiranya, yang meninggalkan organisasi adalah dari kalangan pekerja-pekerja yang hebat prestasinya. Akhirnya akan menyebabkan organisasi akan kehilangan sumber manusia yang berpotensi untuk mengerakkan visi dan misi sesebuah organisasi.

Kesan ini tidak akan terhenti di situ sahaja, malah Jabatan Sumber Manusia harus menguruskan semula aktiviti pengambilan pekerja yang baharu bagi menggantikan pekerja-pekerja yang berhenti. Maka kos langsung dan tidak langsung harus ditanggung oleh majikan dalam menjalankan fungsi sumber manusia ini. Kos langsung yang perlu ditanggung oleh organisasi adalah seperti kos pengiklanan pengambilan pekerja, kos latihan semula dan kos menguruskan induksi kepada pekerja baharu. Manakala kos tidak langsung pula yang perlu ditanggung oleh organisasi adalah kos menguruskan temuduga, kos menunggu pengambilan pekerja dan kos pengurusan dan pentadbiran yang perlu dilakukan dalam pengambilan pekerja baharu ini.

Sekiranya, kesan politik pejabat ini dapat diuruskan dan diminimumkan sebaik mungkin maka aktiviti yang tidak perlu ini dapat disalurkan kepada aktiviti organisasi yang lebih penting seperti pemantapan perancangan strategi syarikat, melatih dan membangunan bakat-bakat baharu dalam meningkatkan prestasi organisasi dan pekerja, yang akhirnya dapat diterjemahkan dalam bentuk “sen dan ringgit” iaitu hasil pengeluaran produktiviti dan keuntugan.

Oleh yang demikian, politik pejabat ini haruslah diuruskan dengan sewajarnya oleh kedua-dua pihak sama ada pihak majikan mahu pun pihak pekerja. Pihak majikan haruslah membangunkan dan menguatkan polisi berkenaan peraturan dan prosedur mengenai aduan, khabar angin “rumous” secara lebih terbuka dan sistematik. Di samping itu juga, jelas tanggungjawab yang perlu dilakukan kepada semua peringkat daripada peringkat operator pengeluaran hinggalah ke peringkat pengurus.

Saluran komunikasi yang boleh dipercayai dalam organisasi untuk melaporkan adauan atau tindakan yang tidak beretika, meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran di dalam menguruskan gelagat organisasi dan karenah sumber manusia juga harus diberi perhatian. Ini penting kerana menguruskan sumber yang bernama “MANUSIA” adalah satu perkara yang amat-amat kompleks dan ianya tidak seperti menguruskan peralatan atau mesin yang berada dalam organisasi.

Sumber manusia ini perlu diuruskan dengan secara bijak, cekap dan sistematik bagi memastikan sumber manusia ini menggunakan masa, pengetahuan, bakat dan kemahiran dalam menyumbang kepada peningkatan pengeluaran dan prestasi syarikat dengan sewajarnya. Bagaimana pula dengan peranan kita sebagai pihak pekerja dalam mengatasi masalah ini? Kita selaku sumber yang bergelar sebagai “MANUSIA” haruslah memastikan diri kita disibukkan dengan aktiviti meningkatkan prestasi dan hasil pengeluran kita, bangunkan bakat dan kemahiran yang dikurniakan oleh Allah S.W.T kepada kita, tingkatkan ilmu pengetahuan dalam mengahadapi dan menguruskan cabaran dari kalangan tingkah laku golongan-golongan politik pejabat atau golongan toksik yang tidak akan membawa kita ke mana-mana mercu kejayaan pun. Justeru, ini akan memperkasakan jati diri kita untuk menjadi modal insan yang cemerlang dan berdaya tahan dengan cabaran di tempat kerja.

Paling penting, banyak yang mugkin kita mudah lupa sentiasalah berdoa dan mengharapkan pertolongan dari Maha Pencipta agar dijauhkan dari perkara-perkara yang tidak baik dalam pekerjaan kita. Ini kerana apa yang kita sumbangkan, itu lah yang kita akan dapat, namun sekiranya tidak diganjarkan di dunia sudah pasti kita akan menerimanya di suatu hari kelak.

Kesimpulanya, intergrasi peranan kedua-dua belah pihak sama ada pihak majikan mahu pun pihak pekerja haruslah digembeling secara kolektif bagi memastikan politik pejabat dapat diuruskan dan ditangani secara bijak dan cekap di samping tidak mengabaikan “suara-suara” atau rintihan-rintihan daripada pihak pekerja serta dalam urusan peningkatan prestasi organisasi. WaAllah hu aqlam..

Artikel ini ditulis tidak mewakili mana-mana pihak dan berdasarkan pengalaman dan ilmu yang dipelajari.

Mohd Fitri Mansor (PhD)
Pensyarah Kanan
Pengurusan Sumber Manusia & Gelagat Organisasi
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) &

Noor Hidayah Abu (PhD)
Pensyarah Kanan
Pengurusan Operasi
Unversiti Utara Malaysia (UUM)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast